Monday, September 22, 2008

MAJLIS ILMU BERSAMA MENTERI BESAR PERAK

Dua puluh satu hari berehat sepanjang bulan Ramadhan tanpa sebarang cacatan dalam blog ini. Memang niat di hati biarlah blog ini tanpa sebarang catatan sepanjang bulan Ramadhan AlMubarak untuk memberi tumpuan kepada ibadah sepanjang bulan.

Bulan Ramadhan, bulan barakah, bulan yang menuntut perjuangan, kesedaran dan pengorbanan dari umat Islam.

Tetapi peristiwa yang tercatat di Masjid AlMutaqqin, Taman Meru, Ipoh malam tadi terlalu besar untuk dibiar berlalu tanpa catatan. Satu sejarah bagi penduduk setempat yang terlalu bernilai, mana mungkin dibiarkan berlalu kerana sejarah kebangkitan semula kesedaran Islam di Perak diyakini akan bermula disini.

Malam tadi sejak terdirinya bangunan kekal Masjid AlMutaqqin lapan belas tahun yang lampau, buat pertama kalinya seorang Menteri Besar Perak sudi menghadirkan diri bersama jemaah setempat menunaikan tanggungjawab terhadap Allah subhanahuwata'ala mendirikan solat.

Malah lebih manis lagi apabila Menteri Besar ini yang bernama Mohamd Nizar bin Jamaluddin sudi mengimamkan jemaah solat Isyak dengan baik dan tertib.

Sudah dua puluh tiga tahun aku tinggal di Taman Meru ini, belum pernah walau sekali pun sebelum ini bersua muka seorang yang bernama wakil rakyat kawasan ini menjengah ke masjid ini.

Apa tah lagi melihat bayang seorang yang bernama menteri besar atau menteri walau pun kini ahli parlimen yang terpilih bagi kawasan ini sudah bergelar Timbalan Menteri Kewangan.

Bukan mudah untuk seorang Menteri Besar Perak yang begitu sibuk dengan tugasan negeri untuk melapangkan begitu banyak masa bersama satu jemaah. Tapi Nizar Jamaluddin meluangkan masa selama tiga jam setengah dari jam 8.40 malam sehingga melewati jam 12.00 tengah malam untuk menunaikan solat Isyak, solat sunat tarawih dan solat sunat witir bersama jemaah.

Kemuncak kehadirannya, pada jam 11.10 malam beliau masih mampu lagi untuk memberi tazkirah Ramadhan selama lebih 40 minit tentang fadhilat solat dan puasa Ramadhan.

Turut hadir adalah wakil-wakil dari NGO Islam seperti ABIM, Jema'ii, Jemaah Islam Malaysia, Ikatan Muslimin Malaysia, TERAS dan Persatuan Ulama Malaysia yang juga telah diberi kesempatan menyampaikan pesanan-pesanan sebelum MB memulakan tazkirah beliau.

Masjid yang penuh sesak dengan jemaah telah dimaklumkan bahawa NGO-NGO Islam ini telah sepakat pada siangnya untuk menubuhkan sebuah permuafakatan yang dinamakan Majlis Permuafakatan Islam Malaysia (MAPIM)yang akan bergerak memperjuangkan hak-hak Masyarakat Muslimin Malaysia dan mempertahankan isu-isu berkaitan Islam yang terlalu banyak dipersenda dan diperkotak-katikkan mutakhir ini.

Mesej yang disampaikan oleh wakil-wakil NGO adalah tiada lain melainkan Muslimin dan Muslimah hari ini di Malaysia perlu bersatu lebih teguh memperjuangkan kalimah Allah dan mengamalkan cara hidup berpandukan AlQuran dan sunnah Rasullullah sebagai masyarakat contoh yang maju, hidup aman makmur, rukun damai, bahagia dan saling mensalingi antara satu sama lain. Masyarakat yang bebas dari cengkaman hasad dengki, busok hati, tamak haloba, fitnah, bohong dan tipu, sumpah seranah, rasuah serta pecah amanah.

Fahaman assobiah yang sempit dan menyempitkan mesti diketepikan kerana melalai, merugi dan merosakkan ummah semata.

SEMOGA RAMADHAN KALI INI MEMBERI KITA KESEDARAN DAN PENGAJARAN UNTUK LEBIH BERBAKTI KEPADA ALLAH SUBHANAHUWATA'ALA. AMIN


 


 

1 comment:

  1. Assalamu'alaikum Datuk,

    Salam perkenalan dari saya nawawidahalan; suami cikgu Rozita yang datang ke rumah pada petang 25ramadhan lalu.

    silalah ke blog saya; cari kelainan moga bertemu kebenaran, insyaAllah.

    http://nawawidahalan.blogspot.com/

    terkini

    PAK LAH

    Datuk Seri Abdullah
    Anak Ahmad Badawi popular dengan panggilan Pak Lah
    Perdana Menteri Malaysia yang mencipta sejarah
    Dikenali bersih awal memerintah
    Penggal pertama makin menyerlah
    Di sana sini dilihat lemah
    Islam dijenamakan banyak yang marah
    Banyak projek mega ditangguh sudah
    Anak dan menantu menjadi barah
    Ramai percaya Pak Lah diarah
    Mentadbir kerajaan dan parti tak tentu arah
    Keputusan selalu berubah-ubah
    Imej Islamiknya tercemar sudah
    Pelakun terkenal dirangkul Pak Lah
    Ini semua tentu mengundang padah
    PRU12 tertanya menyerlah
    Protes rakyat semakin bertambah
    Pak Lah mahu mengaku kalah
    Anak,menantu dan isteri mula marah
    Akhirnya Pak Lah akur jugalah
    Pertahan jawatan sekalipun UMNO parah
    Konon nak baiki masaalah rasuah
    Makin menjadi-jadi makin bertambah
    Dalam kerajaan, dalam parti lebih dahsyatlah
    Sekarang Pak Lah dah naik lelah
    Haluan parti dah tidak tentu arah
    Semakin dekat Pak Lah rebah
    Semakin banyak sokongan yang bawa rebah
    Konon Pak Lah jangan ditentang jangan disanggah
    Mengharap Pak Lah kembali kebah
    Dari luar parti Pak Lah disergah
    Anwar Ibrahim mengancam akan menerjah
    Pak Lah naik gelabah
    MP dibawa keluar Negara ‘membeli belah’
    Negara kini semakin parah
    Inflasi semakin menokok menambah
    UMNO dilihat sudah tak tentu arah
    Pembangkang makin ghairah nak meratah
    Ke mana rakyat nak mengadu masaalah
    Orang politik asyik bergaduh dan bertelegah
    Janji nak membela rakyat yang susah
    Yang jelas orang politiklah yang paling bermasaalah
    Sikap dan tindak tanduk mereka tak berubah
    Menghina, mencaci dan salah menyalah
    Apa rakyat masih percayakah?
    Asal nama politik memang jelas sudah
    Kuasa dikejar sanggup gadai maruah
    Kawan makan kawan biasalah
    Hari ini kawan esok jadi musuh tak hairan dah
    Sebab kesetian hanya slogan dilidah
    Dalam hati, masyaAllah
    Iblis dan syaitan pun ngaku kalah
    Kepada rakyat memohon dengan tangan menadah
    Kepada Tuhan kita berserah
    Kerana semua yang berlaku terkandung hikmah
    Yakinlah Tuhan tidak jadikan sesuatu sia-sia tanpa faedah
    Jika besar masaalah, maka besar juga hikmah
    Yang tersurat dibaca sudah
    Yang tersirat menanti pasrah

    Pak Lah
    UMNO merekah menunggu belah
    Belah dua, tiga, empat boleh jadi bersepah-sepah
    Nampak muka makin kurang darah
    Tak tidur malam mata mesti merah
    Fikiran serabut dengan macam-macam masaalah
    Hati sentiasa mengelabah
    Takut Najib dan Mahyuddin tak ikut arah
    Ku Li tentu melawan arah
    Ahli UMNO dah banyak yang menyampah
    Kenapa masih belum mengaku kalah?

    Pak Lah
    Hari ini Jumaat terakhir Ramadhan yang penuh berkah
    Menjadi penentu Pak Lah selamat atau musnah
    Kepada Tuhan kembali menyerah
    Kenapa masih menegak benang yang basah
    Jika patut menyerah kalah
    Mengundur diri dapat menjaga maruah
    Datang simpati mereka yang marah
    Jasa dikenang walau pun ada yang menyumpah seranah
    Tapi jika masih terasa gagah
    Terimalah akibat menungkah bah
    Lemas tenggelam impian Pak Lah
    UMNO turut punah ranah
    Pak Lah oh Pak Lah
    Tiada bahasa tiada madah
    Bukan masa nak bertikam lidah
    Inilah masa patut berubah
    Membaiki diri, bertaubat dan kepada Tuhan mengaku salah

    Pak Lah
    Kenapa orang marah
    Kerana Pak Lah dah tak amanah
    Cakap banyak berubah-ubah
    Macam budak baru sekolah
    Biasanya orang macam ini ada buat salah
    Apa sebenarnya yang sudah dibuat Pak Lah
    Rakyat rasa cukup menyampah
    Pak Lah pula buat muka sampah
    Tak faham bahasa atau memang tak bermaruah
    Sudahlah Pak Lah
    Masa dan cukup dah!

    ReplyDelete