Tuesday, September 30, 2008

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

Pejam celik pejam celik dah lebih setengah abad usia

Pejam celik pejam celik dah 30 hari puasa

Makin dipejam makin dicelik makin banyak salah dan dosa

Sementara masih celik banyak banyaklah buat pahala

Sebelum pejam tak celik celik harap maaf jika tersalah bahasa dan tersilap kata

KEPADA SEMUA MUSLIMIN DAN MUSLIMAT

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

MAAF ZAHIR DAN BATIN

Monday, September 22, 2008

MAJLIS ILMU BERSAMA MENTERI BESAR PERAK

Dua puluh satu hari berehat sepanjang bulan Ramadhan tanpa sebarang cacatan dalam blog ini. Memang niat di hati biarlah blog ini tanpa sebarang catatan sepanjang bulan Ramadhan AlMubarak untuk memberi tumpuan kepada ibadah sepanjang bulan.

Bulan Ramadhan, bulan barakah, bulan yang menuntut perjuangan, kesedaran dan pengorbanan dari umat Islam.

Tetapi peristiwa yang tercatat di Masjid AlMutaqqin, Taman Meru, Ipoh malam tadi terlalu besar untuk dibiar berlalu tanpa catatan. Satu sejarah bagi penduduk setempat yang terlalu bernilai, mana mungkin dibiarkan berlalu kerana sejarah kebangkitan semula kesedaran Islam di Perak diyakini akan bermula disini.

Malam tadi sejak terdirinya bangunan kekal Masjid AlMutaqqin lapan belas tahun yang lampau, buat pertama kalinya seorang Menteri Besar Perak sudi menghadirkan diri bersama jemaah setempat menunaikan tanggungjawab terhadap Allah subhanahuwata'ala mendirikan solat.

Malah lebih manis lagi apabila Menteri Besar ini yang bernama Mohamd Nizar bin Jamaluddin sudi mengimamkan jemaah solat Isyak dengan baik dan tertib.

Sudah dua puluh tiga tahun aku tinggal di Taman Meru ini, belum pernah walau sekali pun sebelum ini bersua muka seorang yang bernama wakil rakyat kawasan ini menjengah ke masjid ini.

Apa tah lagi melihat bayang seorang yang bernama menteri besar atau menteri walau pun kini ahli parlimen yang terpilih bagi kawasan ini sudah bergelar Timbalan Menteri Kewangan.

Bukan mudah untuk seorang Menteri Besar Perak yang begitu sibuk dengan tugasan negeri untuk melapangkan begitu banyak masa bersama satu jemaah. Tapi Nizar Jamaluddin meluangkan masa selama tiga jam setengah dari jam 8.40 malam sehingga melewati jam 12.00 tengah malam untuk menunaikan solat Isyak, solat sunat tarawih dan solat sunat witir bersama jemaah.

Kemuncak kehadirannya, pada jam 11.10 malam beliau masih mampu lagi untuk memberi tazkirah Ramadhan selama lebih 40 minit tentang fadhilat solat dan puasa Ramadhan.

Turut hadir adalah wakil-wakil dari NGO Islam seperti ABIM, Jema'ii, Jemaah Islam Malaysia, Ikatan Muslimin Malaysia, TERAS dan Persatuan Ulama Malaysia yang juga telah diberi kesempatan menyampaikan pesanan-pesanan sebelum MB memulakan tazkirah beliau.

Masjid yang penuh sesak dengan jemaah telah dimaklumkan bahawa NGO-NGO Islam ini telah sepakat pada siangnya untuk menubuhkan sebuah permuafakatan yang dinamakan Majlis Permuafakatan Islam Malaysia (MAPIM)yang akan bergerak memperjuangkan hak-hak Masyarakat Muslimin Malaysia dan mempertahankan isu-isu berkaitan Islam yang terlalu banyak dipersenda dan diperkotak-katikkan mutakhir ini.

Mesej yang disampaikan oleh wakil-wakil NGO adalah tiada lain melainkan Muslimin dan Muslimah hari ini di Malaysia perlu bersatu lebih teguh memperjuangkan kalimah Allah dan mengamalkan cara hidup berpandukan AlQuran dan sunnah Rasullullah sebagai masyarakat contoh yang maju, hidup aman makmur, rukun damai, bahagia dan saling mensalingi antara satu sama lain. Masyarakat yang bebas dari cengkaman hasad dengki, busok hati, tamak haloba, fitnah, bohong dan tipu, sumpah seranah, rasuah serta pecah amanah.

Fahaman assobiah yang sempit dan menyempitkan mesti diketepikan kerana melalai, merugi dan merosakkan ummah semata.

SEMOGA RAMADHAN KALI INI MEMBERI KITA KESEDARAN DAN PENGAJARAN UNTUK LEBIH BERBAKTI KEPADA ALLAH SUBHANAHUWATA'ALA. AMIN


 


 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...