Thursday, May 2, 2013

389. SATU AMANAH...SATU TANGGUNGJAWAB


Apa jua tugas yang kita lakukan adalah sebenarnya pelaksanaan amanah kerana hidup ini adalah menunaikan amanah...Amanah daripada dan kepada Allah subhanahu wata'ala untuk menunaikan janji kita kepada Allah dan Rosulullah untuk hidup sebagai insan muslim yang tunduk patuh kepada peraturan dan landasan yang telah disusun atur mengikut jalur-jalur agama Islam.

Sekembali daripada menunaikan ibadah umrah di Makkatul Mukarramah tiga hari lalu, disambut dengan deretan bendera-bentera parti sepanjang jalan menuju rumah. Terpampang wajah tersenyum calon-calon yang bertanding mewakili parti masing=masing. Di kiri kanan Jalan Bukit Meru penuh dengan poster dan banting UMNO, PAS dan PKR disesakkan lagi dengan pondok-pondok parti yang tumbuh bak cendawan pagi.

Musim pilihanraya tiba lagi...

Untuk kesekian kali saya akan mengundi lagi memilih seorang calon sebagai WAKIL RAKYAT. Saat yang sememangnya saya tunggu-tunggu setiap lima tahun. Apatah lagi wakil rakyat daripada BN yang lalu ternyata amat mengecewakan!

Meru Heights termasuk dalam kawasan DUN Manjoi dan dua anak tempatan bertarung mewakili parti masing-masing.

Kedua calon yang bertanding di DUN Manjoi memang kenalan saya.

Tuan Hj Asmuni bin Awi yang mewakili PAS adalah sahabat baik, juga seorang aktivis masyarakat tempatan. Kali terakhir program diadakan dipekarangan rumah beliau adah korban perdana 14 ekor lembu semasa hari raya haji yang lalu.

Manakala En Mohd Ziad bin Dato Zainal adalah anak kepada Dato Hj Mohd Zainal, seorang dermawan juga seorang sahabat lama. Ibu saudara beliau, Dato Mazidah binti Zakaria, bekas wakil rakyat kawasan Ulu Kinta saya anggap sebagai seorang kakak.

Poster Ziad meletakkan seorang manusia sebagai teras...


Kedua calon mempunyai pendidikan agama mantap, berperwatakan mulia dan peribadi baik.

 Tn Hj Asmuni ada ketika berpeluang menjadi Imam solat maghrib dan solat Isyak di Masjid Taman Meru.

Kedua calon punya potensi menjadi wakil rakyat yang baik walau pun pendekatan kempen yang berbeza. 

Saya amat tertarik dengan slogan yang tertera pada poster calon PAS yang berpaksikan Allah dan perkatan 'amanah' sebagai kata kunci.


Sesungguhnya Allah Ta'ala penentu segalanya. Tanggungjawab sebagai wakil rakyat adalah memikul satu amanah dan bukannya satu tiket untuk mengaut kekayaan dan kesenangan dunia.

Sama-sama kita tunaikan amanah.

Selamat menunaikan tanggungjawab mengundi untuk masa depan generasi akan datang...

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...