Thursday, June 16, 2011

361. TUJUH WASIAT RAJA-RAJA MELAYU

Semasa menghadiri acara ‘Konsert Diraja’ di Dewan Canselor, Universiti Teknologi Petronas awal bulan ini, saya tertarik dengan kandungan yang dimuatkan pada halaman 21 dalam buku aluan yang diberikan.

Berapa ramai rakyat Malaysia hari ini yang tahu dan faham akan perkara ’ 7 Wasiat’ yang tertera pada halaman tersebut?

Alangkah baiknya jika Kementerian Pelajaran mengkaji semula subjek Sejarah yang diajar di sekolah-sekolah dan meletakkan Sejarah Tanah Melayu pada perspektik yang lebih tepat seperti menyatakan dengan jelas perkara “7 Wasiat’ ini supaya pelajar-pelajar dan rakyat dari semua kalangan kaum di Malaysia faham tentang pengorbanan Duli-duli Yang Maha Mulia sembilan Tuanku-tuanku Sultan.

Saya perturunkan ‘ 7 Wasiat’ untuk tatapan bersama.

Pada tarikh 5 Ogos 1957, Duli-Duli Yang Maha Mulia sembilan Raja-Raja Melayu sebagai Raja Pemerintah dari empat "Negeri Melayu Bersekutu" dan lima "Negeri Melayu Tidak Bersekutu" telah memberikan perkenan menurunkan tandatangan persetujuan kepada pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dengan memahat Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu yang berbunyi:

"Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami tujuh perkara yang mana jika kamu bersatu-padu dan berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan aman dan damai dan selamat sejahtera"

TUJUH PERKARA ITU ADALAH:

Pertama:

Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung PERSEKUTUAN TANAH MELAYU (sekarang dikenali dengan nama MALAYSIA)

Kedua:

Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, TANAH SIMPANAN MELAYU sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.

Ketiga:

Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kami serta harta hak milik kamu, kami tubuhkan REJIMEN ASKAR MELAYU selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara.

Keempat:

Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan RAJA-RAJA MELAYU memerintah negara ini.

Kelima:

Kami isytiharkan ISLAM adalah Agama Persekutuan.

Keenam:

Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah BAHASA MELAYU.

Ketujuh:

Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi KEDUDUKAN ISTIMEWA ORANG MELAYU dan KEPENTINGAN SAH KAUM-KAUM LAIN. (Kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).

Wasiat ini dihasilkan atas kehendak Raja-Raja Melayu untuk mengekalkan kesinambungan sejarah, kedaulatan dan kuasa politik Melayu (yang terletak pada Raja-Raja Melayu) kepada kesinambungan kedaulatan negara yang terletak kepada Raja-Raja Melayu serta mendapat penerimaan rakyat (consensus) melalui wakil-wakil sah yang mempunyai locus standi, maka Perlembagaan Persekutuan mempunyai fasal-fasal tertentu.

Fasal-fasal tersebut adalah Perkara 3(1), (2),(3) dan (5); Perkara 11, Perkara 12, Perkara 38(5); Perkara 152, Perkara 153 dan Perkara 181 (1). Fasal-fasal ini memerlukan izin Majlis Raja-Raja Melayu untuk sebarang pindaan perlembagaan Parlimen dibenarkan berkuat kuasa.

Renung-renungkanlah pengorbanan Raja-raja yang kita cintai dan sejauh mana wasiat tersebut di patuhi…

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...