Showing posts with label Kisah Orang Asli. Show all posts
Showing posts with label Kisah Orang Asli. Show all posts

Wednesday, September 2, 2009

LAWATAN SUSULAN KE KAMPUNG MAKMUR

Semalam Selasa tanggal 01 September 2009 jam 11.10 pagi, satu rombongan lapan orang  terdiri daripada pegawai-pegawai hospital dan wakil-wakil daripada Kelab Bakti Gunung Keledang diketuai oleh Dr Dilshaad, Ketua Eksekutif, Hospital Pantai Puteri, Ipoh mengadakan lawatan susulan ke perkampungan Orang Asli, Kampung Makmur, Tanjung Rambutan.

Tujuan lawatan adalah untuk meninjau secara lebih dekat ruang bantuan yang dapat dihulurkan oleh pihak hospital dan Kelab Keledang sambil mengemaskini beberapa cadangan bantuan yang difikirkan bersesuaian  termasuk menjadikan Sekolah Rendah Kebangsaan Kampung Tonggang berdekatan sebagai sekolah angkat.

Sedih sekali apabila dimaklumkan Ustaz Muid bahawa peratusan keputusan UPSR di sekolah tersebut adalah KOSONG %.

Laporan yang disediakan oleh Ustaz Muid daripada Jakim, Sdr Harith dan Sdr Muzill daripada lawatan awalan Julai lalu dijadikan asas dalam merangka cadangan bantuan.

Perjalanan 45 minit untuk sampai ke kampung terasa amat menarik dan menyenangkan  apatah lagi pemandangan Empangan Sultan Azlan Shah jelas kelihatan. Track pendakian agak curam, berliku, berlubang-lubang dan bersimpang siur sungguh mencabar.

Terasa damai dan tenang bila berada di kawasan tanah tinggi yang dijadikan perkampungan Orang Asli Kampung Makmur.

Kalaulah ada jalan yang sempurna ke kawasan ini sudah tentu pembangunan cepat sampai dan anak-anak Asli tentu mudah ke sekolah dan penduduk-penduduk Kampung Makmur dan kampung yang berhampiran mudah berurusan di Tanjung. 

Mungkin pemimpin negeri ada yang tergerak hati untuk melakukan sesuatu projek  yang memberi impak merubah taraf kehidupan di Kampung Makmur lepas ini.

Harapan kami di NGO seperti Kelab Keledang dan badan korporat seperti Hospital Pantai Puteri melalui program ‘Corporate Social Responsibility’nya disamping memberi bantuan juga  menyediakan sebuah jendela penyampai maklumat untuk menggerak kesedaran masyarakat di luar. 

Sekembali dari lawatan singkat pada jam 2.00 petang, jadual kerja dan aktiviti yang dicadangkan berjaya difokuskan.

Dr Dilshaad dijadualkan akan muncul dalam program ‘Selamat Pagi Malaysia’ pada hari Selasa 08 September 2009 jam 8.30 pagi. Harapnya beliau akan dapat menjelaskan program CSR hospital termasuk yang telah disusun untuk Kampung Makmur dan kampung-kampung berhampiran.

Semoga apa jua yang dirancang oleh Hospital Pantai Puteri dan Kelab Keledang akan menjadi pencetus dan catalyst kearah menaik taraf kehidupan dan tahap kesihatan penduduk serta pencapaian pendidikan anak-anak Asli Kampung Makmur dan sekitarnya...

... kerana mereka juga berhak mengecapi nikmat kemerdekaan.

Tuesday, July 14, 2009

CERITA TENTANG SATU PENGAJARAN DI RIMBA

Cerita tentang belajar, sebenarnya sampai mati pun tak habis belajar. Bersusun ijazah pun belum tentu kita reti semua perkara. Kadang-kadang ilmu diperolehi di tempat dan daripada saluran yang tak sangka. Walau pun tak pernah pegi universiti tapi Pak Usu, Tok Batin orang Asli, banyak mengajar saya dan rakan-rakan tentang kehidupan.

Teringat satu peristiwa lalu semasa berkumpulan trekking hutan dari Keramat Pulai, Perak ke Blue Valley, Cameron Higlands, Pahang. Kami berenam, Anwar, Hj Nopiah, Syed, Abu dan aku, kesemuanya pegawai agensi kerajaan negeri bertekad meredah hutan untuk mengenal pasti satu kawasan tanah yang baru diluluskan kerajaan negeri kepada syarikat yang di kepalai Anwar.

Bila idea masuk hutan di utarakan Anwar, kami tiada halangan walau pun tiada pengalaman dan latihan. Abu, pegawai projek satu agensi kerajaan, yang ada pengalaman trekking di hutan diminta membuat persediaan. Hun Lim, seorang pemaju dari KL, juga ikut serta bila dapat kabar berita, entah dari siapa.

Rombongan kami memang bersemangat pagi itu untuk berjalan kaki meredah hutan menyusur denai dan menyisir sungai. Ditemani seorang anak muda Orang Asli dengan ketuanya Pak Usu, kami memulakan perjalanan dengan pakaian lengkap berparang,canteen dan haversack tiap seorang. Seronok, riang, gembira, riuh hilai ketawa tidak sabar untuk mula bergerak.

“Jauh ke Pak Usu?”Tanya Anwar, “Dekat saja. Jalan-jalan, sembang-sembang, makan makan sampailah tu” jawab Pak Usu tersenyum sambil menghembuskan asap rokok daun berkepul-kepul. Senyum yang amat bermakna.

“Agak-agak berapa hari boleh sampai ke Cameron?” sampuk Hj Nopiah.

“Dua hari dah boleh sampai” jawab Pak Usu mudah.

Kami memang sudah bersedia. Maklum sajalah ini pengalaman baru bagi kami semua kecuali Abu.

Tampak gagah dengan haversack digalas dan parang terpasang di pinggang, rombongan mula berangkat dipandu oleh Pak Usu.

Setengah jam berjalan, kaki mula berat nak diangkat. Masing-masing cari kayu buat tongkat.

“Jauh lagi ke Pak Usu. Boleh berenti berehat sekejap?”Tanya Syed.

”Sekejap lagi boleh berenti. Ni baru saja berjalan.” jawab Pak Usu ringkas.

“Ok, kita sambung jalan” kata Abu. Rombongan terus berjalan dan mula mendaki bukit. Badan mula rasa letih, perut rasa perit. kaki mula keras bagai nak cramp. Bukan senang nak berjalan dengan bebanan di belakang dan di pinggang.

Terfikir juga di benak, relaks-relaks di rumah, apa hal cari susah nak ikut dia orang ni masuk hutan.

Sepuluh minit berjalan, Pak Usu dan anak muda Asli sudah jauh ke depan manakala kami dah  tercorot  tercungap ke belakang.Haversack dah terlondeh, parang dan canteen dah terlucut. Masing-masing dah bernyawa ikut mulut. Tapi Abu tetap steady.

Mula terasa lekeh betul lah diri ini. 

“Pak Usu, kita stop dulu. budak-budak ni dak pancit” laung Abu. Tanpa banyak cakap Pak Usu menghenti perjalanan dan terus datang kepada Abu.

Melihat keadaan rombongan yang hampir lembik, Abu berunding dengan Pak Usu. Kata sepakat dicapai. Pak Usu akan pulang ke kampung dan membawa empat anak muda Asli sebagai porters untuk angkut barang dan jaga keselamatan. Semua ahli rombongan akan berjalan tanpa memikul apa-apa barang. Jalan ikut rentak santai. Masa tu, upah RM15 satu hari bagi  seorang porter terlalu murah kerana duit bukan lagi ukuran bila badan dah penat semacam.

Rasa sekejap sangat, lima anak muda Asli sudah berada di depan mata. Sama ada dia orang ni memang pantas berlari atau memang mereka dah menduga takkan jauh mana rombongan ni bergerak, tak kisahlah. 

Selesai mengagihkan barang-barang ,rombongan bergerak semula dan mula mendaki bukit.

Bila badan dah ringan mulalah mulut meracau dan mata melilau.Tambah pulak udara segar nan nyaman, terasa amat bersih dan aman.

Nampak pepohon balak yang menghijau di hutan, teringin pulak nak tahu spesis kayu yang ada di depan mata.

“Pak Usu, pokok apa tu?” Tanya ku pada Pak Usu. “Meranti” jawab Pak Usu ringkas.

“Yang tu?” Tanya ku sambil menunjukkan pada satu pohon sebelah kanan. “Oh, itu Merbau” jawab lagi Pak Usu. “Yang sana tu?” Tanya Hun Lim

“Oh, itu, Beringin” jawab Pak Usu.

Kami berjalan lagi. Memang cantik pemandangan dalam hutan dengan alunan suara burung berkicauan. Tapi hairan, tak seekor haiwan pun kelihatan. Jangankan beruang, kera lotong pun tak nampak bayang. Segan pulak nak tanya pak Usu kenapa tiada haiwan.

“Pak Usu, pokok di kiri sana tu, apa nama?” Tanya ku lagi.

“Pokok kayu la!” selamba jawab Pak Usu sinis tanpa memandang pada arah yang ditunjuk.

“Cetek betul ilmu di dada, sampaikan pokok pun kami tak kenal. Alih-alih ada hati nak mintak tanah di hutan.”bisik hatiku.

Kita terus mendaki. Letih sungguh, bila nak sampai ni, bisik lagi hati ku.

“Hai, lama lagi ke nak daki ni, Pak Usu?” Tanya Syed. “Eh, baru melereng, belum mendaki lagi, encik” sempoi jawab Pak Usu. Sekali lagi jawapan Pak Usu meletak kami terasa amat kerdil.

Tiba di satu kawasan lapang agak di puncak, jauh kelihatan sebelah kiri sayup nampak berbalam macam penempatan. Melihat kami macam minat nak tahu, Pak Usu cakap, itu kawasan Tanjung Rambutan.

“Jauh ke nak ke Tanjung Rambutan?” Tanya Hj Nopiah kepada Pak Usu. “Oh, Jauh tentulah jauh. Kan nampak jauh pun dari sini” jawab Pak Usu.

“Pak Usu pernah ke pegi Tanjung Rambutan?” Tanya Syed.

“Banyak kali dah, encik” balas Pak Usu.

“Kuat Pak Usu berjalan sampai ke Tanjung Rambutan” kata Anwar.

“Saya naik 'bash' ” selamba jawap Pak Usu.

Tersengeh kami dengan jawapan Pak Usu.

Betul jugak takkan nak jalan kaki bila dah ada kenderaan awam.

Itulah kita kadang-kadang terikat dengan stereo-type mentality. Mentang-mentang Pak Usu selalu berjalan dalam hutan, takkan nak ke bandar pun nak expect dia jalan kaki. Tahu lah dia naik 'bash'...

 

 

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...