Friday, July 20, 2012

384. NIKMATNYA SEBUAH RAMADHAN ALMUBARAK...




Terasa amat merdu bacaan Surah As-Sajdah yang bergema dikumandangkan oleh Cikgu haji Mokhtar yang mengimamkan solat Subuh pagi tadi. Solat Subuh terakhir di pagi Jumaat menjelang bulan Ramadhan. Syahdu dan sayu ketika Sujud Tilawah. 

Syukur teramat kerana masih diizinkan Allah yang Maha Esa untuk terus bernafas dan menyambut Bulan Ramadhan, bulan barakah, bulan yang dianugerahkan Allah kepada hamba-hambaNya untuk menjalani puasa wajib dan menggandakan ibadah-ibadah dan sadoqah amal jariah.Semasa berdoa, terasa sedih teringatkan rakan-rakan yang ada bersama di Ramadhan tahun lalu kini telah pergi menyahut panggilan Ilahi. 

Teringatkan Arwah Haji Yang, imam gantian , dengan bacaan surah As-Sajdah, lancar dan santai pada solat Subuh di pagi Jumaat. Terkenang juga Arwah Ustaz haji Zaini, mantan imam rasmi masjid alMutaqqin, Taman Meru yang banyak mencurahkan ilmu kepada jemaah, kini telah tiada, pergi  menemui Pencipta mendahului kita.

 Malam ini selepas solat Isyak, umat Islam akan mula mendirikan solat sunat Tarawih. Masjid Almutaqqin pastinya melimpah ruah seperti tahun-tahun lalu.

 Esok kita umat Islam akan mula menjalani ibadah puasa wajib, puasa di bulan Ramadhan.

Semoga kita semua terus diberi nikmat menjalani ibadah puasa bulan Ramadhan kali ini dengan lebih tertib, sopan dan cemerlang.

Sambil ini bersamalah kita ingat mengingati bahawa anak-anak yatim, fakir miskin, saudara-saudara baru, para pelajar di maahad tahfiz masih memerlukan bantuan dan bimbingan sepanjang tahun...hulur-hulurlah sumbangan kerana setiap sadoqah itu sebenarnya penyambung silaturrahim sesama kita insan Muslim.

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN ALMUBARAK...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...