Friday, March 30, 2012

379. TAKZIAH KPD DYMM SULTAN PERAK DAN KELUARGA

Alfatihah

Seluruh wargakerja Limau tambun dan LtWatch Gallery merafak sembah takziah kepada DYMM Tuanku Sultan Perak dan keluarga diatas kemangkatan putera kedua baginda, Almarhum YAM Raja Kecil Sulong Perak, Raja Dato' Seri Ashman Shah ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah pada awal pagi tadi.

Sebagai rakyat negeri Perak kami turut bersedih atas kehilangan seorang anak raja berjiwa rakyat.

Sama-samalah kita berdoa semoga Tuanku Sultan dan keluarga diberi ketabahan atas ujian ini dan semoga Allah swt menempatkan roh Almarhum Raja Ashman Shah di kalangan para auliya' dan para solihin.

Amin.


Thursday, March 29, 2012

378. DARI YOUTUBE KE PULAU PINANG...

Ceramah-ceramah ringkasnya yang diupload ke youtube sering saya ikuti. Kemas, ringkas, santai dan padat disampaikan dalam loghat Terengganu yang pekat secara humor memang menarik di ikuti dan mudah difahami.

Pilihan bahasa ada ketika bunyinya kasar namun berkesan untuk hati-hati yang leka, lagho dan lalai. Bagaikan ubat pahit penawar penyakit lupa dan alpa perintah tuhan dan ajaran rasullullah.

Itulah keistimewaan Ustaz Azhar Idrus, penceramah extraordinaire yang saya kagumi dan hormati.

Kemampuannya menarik ribuan anak muda segenap lapisan mengikuti kuliah-kuliah beliau di serata masjid dan surau waima pusat futsal amat menakjubkan.

Bagi saya dia adalah satu fenomena kurniaan Allah SWT.

Memang saya kepingin sekali bertemu muka dengan beliau untuk mendengar ceramah secara live. Apatah lagi peluang untuk berjumpanya ketika dia berkunjung ke Pusat Pendidikan Al-Barakah, Manjoi, Ipoh gagal saya manfaatkan.

Pelawaan sahabat dan jiran saya, Tuan Haji Mokhtar, Imam Masjid Al-Mutaqqin Taman Meru, Ipoh untuk ke Masjid Negeri Pulau Pinang pada 17 Mac lalu mengikuti ceramah Ustaz Azhar Idrus, saya sambut dengan penuh kesyukuran.

Berteman beberapa rakan yang lain rombongan kami bertolak awal supaya sempat singgah makan tengahari di Restoran Hameediyah, Campbell Street, Penang. Nasi kandar kambing dan ayam belanda disitu memang kelassss...

Lepas pekena nasi kandar singgah di masjid Kapitan Keling untuk solat zohor. Lepas solat rehat sekejap sambil memerhati gelagat pelancong-pelancong asing, Jepun, Korea, British dan Jerman yang ramai berkunjung ke masjid ini yang sedang diupgrade. Sempat kejap jadi pemandu pelancong stand-in tanpa tauliah.

Masa yang terluang kami gunakan untuk meninjau beberapa tempat istimewa yang berdekatan.
Singgah dulu di kedai Yusoff Taiyub yang tak jauh dari masjid ini untuk beli korma Ajwa, kismis dan kacang gajus. Ronda-ronda lagi sampai jam lima terus ke Padang Kota pekena pasembor.

Jam enam van kami meluncur ke Masjid Negeri Pulau Pinang. "Biar awal ke masjid supaya senang parking dan dapat tempat di saf depan" kata saya pada rakan-rakan.

Memang benar sesampainya kami, orang sudah mula ramai tiba. Gerai-gerai jualan yang menjual cd dan buku-buku ceramah dan kisah Ustaz Azhar Idrus pun bersepah memulakan perniagaan. saya singgah dan beli senaskah buku buat bacaan semenatara menunggu masuk waktu maghrib.

Selepas mengambil wudhu' masuk masjid terus kebahagian depan untuk solat sunat tahyatul masjid. Selesai solat dan doa, perhati di kanan perhati di kiri, tengok sekeliling dan pusing belakang , kelihatan jemaah sudah mula memenuhi ruang masjid. Kagum melihat rata-rata anak muda...yang rambut pendek, yang berambut panjang, ada yang berjubah, dan ada yang berjeans lusuh berpusu-pusu mencari tempat. Ruang masjid sudah mula dipenuhi. Kawasan muslimah sudah agak padat dengan jemaah. Pengumuman dibuat membenarkan jemaah muslimah mengisi tingkat atas masjid.

Jam tujuh, masjid sudah padat, tingkat atas juga kelihatan ramai sekali muslimat. Di pintu-pintu masuk masih kelihatan jemaah mninjau-ninjau mencari tempat.

Subhanallah...tidak pernah terlintas di benak saya akan melihat pemandangan sebegini di masjid, orang berpusu-pusu membanjiri untuk memdengar kuliah. Selalunya, bila ada kuliah di masjid, jemaah yang mendengar hanyalah dari golongan pesara dan orang-orang yang lanjut usia.

Tetapi jauh berbeza dengan kuliah Ustaz Azhar Idrus, auranya berjaya menarik ribuan anak muda mudi mendekatkan diri dengan agama. Bangga dan terasa sejuk dada. Terbukti kalau kena gaya nak cara, para muda mudi juga mudah mesra dengan agama.


Personaliti seperti Ustaz Azhar Idrus dan Ustaz Kazim Elias, bekas guru saya adalah peneraju dan pembimbing anak-anak muda mudi dan dewasa kembali dampingi diri dengan agama Islam yang amat kita cintai dan hayati...

Alhamdulillah, kuliah ustaz lebih dua jam selepas solat maghrib dengan bahasa mudah amat berkesan. Rasanya ustaz sempat menjawab dua puluh soalan yang dikemukakan jemaah. Berpuluh-puluh lagi solan yang tak sempat berjawab. Dalam gelak ketawa jemaah, beliau susupkan ilmu-ilmu bermakna buat panduan hidup.Sungguh berbaloi kunjungan yang pastinya akan disusul di lain tempat dan ketika.

Semoga Ustaz Azhar Idrus dan para penceramah yang bergerak menyampai, menyebar dan menyuburkan ilmu-ilmu agama Islam kepada masyarakat sentiasa dilimpahi keberkatan Ilahi.

Insya Allah...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...