Kata Sultan Ahmad Shah selaku Presiden FAM, struktur bolasepak Malaysia perlu rombakan besar-besaran. Alhamdulillah, tuanku sedar. Sesiapa yang mengikuti bolasepak Malaysia tentu tahu, ini bukan kenyataan pertama Tuanku Presiden tapi berapa kerat orang di FAM yang faham kenyataan Tuanku.
Memang dah lama patut rombak pun. Tapi kalau nak rombak kali nie, biar londeh peghabeh.Bukan takat coachnya kena ditunjuk pintu keluar tapi pemain-pemain, pentadbir-pentadbir, AJK FAM pun patut sangat disuruh belah. Di peringkat persatuan negeri pun sama, bersepah yang tak tau buat kerja masih berpaut pegang jawatan bertahun-tahun sampai muka pun naik renyok. Tapi kerja tak buat sebab tak faham dan tak reti bahasa. Setakat nafsu kuat saja buat apa kalau tenaga kurang.
Kepada golongan yang tak reti bahasa nie, bagilah orang lain pulak pimpin. Dah tua-tua kerepot tu, duduklah kat rumah dan berjinaklah dengan masyarakat dan masjid. Bukan apa, takut nanti mati, tak ada siapa nak sembahyang jenazah sebab orang pun tak kenal.
Kalau FAM nak cari module kepimpinan persatuan sukan yang baik, tengok macam mana Dato’ Nadzmi susun struktur kat BAM, mutu persembahan pemain-pemain di persada antarabangsa dah meningkat dengan cantik terutama sekali di kalangan atlit wanita.
Cerita di belasah 5-0 rupanya dikongsi juga oleh UMNO yang dibelasah dengan score yang sama oleh Pakatan Rakyat. Kalah pada Pilihanraya Mac ’08, kemudian SAPP pulak keluar BN, kalah pilihanraya kecil di Permatang Pauh dan kalah lagi di pilihanraya kecil di Kuala Trenggganu. Semalam, gol terakhir disumbat Pakatan Rakyat ke gawang BN di Perak apabila Dato’ Nasarudin Hashim, ADUN Bota, Perak mengishtihar masuk PKR. Tapi Dato’ Najib masih releks. Tajol Rosli kata dia bertanggungjawab tapi macam biasalah dia nie, nyade saja, walau UMNO terlepas memerintah Perak, masih berpaut pada jawatan sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Perak.
Eloklah UMNO pun dirombak sungguh-sungguh.Tajol Rosli, menteri-menteri pencen, Ketua-ketua Bahagian dan AJK yang dok berebut jawatan tapi tak buat kerja, ADUN-ADUN yang malas masuk kawasan tapi ada masa tambah bini, Ahli Parlimen yang dah jadi menteri tapi sombong dan tak reti nak maju kawasan parlimen sendiri, dah lupa balik melawat dan merawat kawasan, molek sangatlah berundur. Mungkin Tajol Rosli dan orang-rang yang sewaktu dengan boleh diekspot sebagai duta ke luar Negara. Ada juga faedahnya daripada dok bertapa kat pejabat UMNO negeri. Bila Dato’ Nasarudin Hashim lompat ke PKR baru nak dengar suara berdetik sikit. Tu pun sikit....
Elok sangatlah UMNO cari muka baru, muda belia, segar bugar, cerdik pandai, komited dan berilmu tinggi serta faham erti perjuangan asal UMNO sebagai pemimpin baru supaya generasi muda dapat mudah didekati. Bagilah deme nie peluang untuk pulihkan UMNO yang dah lasam dan lesu.