Agak lama saya tidak menulis. Barangkali banyak peristiwa bulan Januari ini yang mengguris perasaan. Kisah politik umat Islam Melayu yang berbalah tak sudah. Kisah pemimpin yang macam tidak pernah mengerti perasan rakyat. Kisah janji politik yang tinggal janji. Kisah wakil-wakil rakyat yang hanya menjengah di musim pilihanraya. Kisah menteri-menteri yang ke hulu ke hilir tapi lupa pulang ke kawasan untuk berjumpa rakyat. Kisah wakil rakyat yang ada masa tambah bini tapi tak punya masa melangkah ke masjid berjemaah bersama rakyat di kawasan.
Tapi kisah penderitaan rakyat Palestin lebih pilu,pedih, sakit dan amat menyayatkan.
Khutbah Jumaat di masjid Taman Meru hari ini masih berkisar pada isu Palestin. Betapa rakyat Palestin telah menderita selama 60 tahun sejak tertubuhnya negara Israel di bumi Palestin.
Dengan nada lantang dan tegas, Ustaz Hashim selaku Khatib hari ini menghurai rentetan sejarah penubuhan Israel sekali gus menguasai Baitul Makhdis, Kiblat pertama umat Islam sebelum beralih ke Masjidil Haram.
Lekehnya umat Islam hari ini yang hanya mampu melihat kekejaman dan merintih dalam sepi.
Sedih, sayu, hiba dan lara tidak terperi melihat gambar-gambar kanak-kanak dan wanita-wanita yang tidak berdosa menjadi mangsa Israel durjana sedangkan Negara-negara Islam yang kaya raya hanya mampu merayu dan merayu. Tak pernah mahu bersatu. Tak pernah mahu sepakat. Masing-masing dengan gaya longlai tersendiri punya agenda masing-masing. Menjerit di PBB macam berbisik di lobang cacing.
Teringat saya, ketika kereta kami melewati bangunan Liga Arab di Kaherah pada 2 Januari lalu, seorang sahabat berbangsa Mesir sambil ketawa berkata ' Inilah tempat pemimpin-pemimpin Liga Arab bertemu dan berbincang. Lepas minum-minum kopi mereka pun pulang tanpa sebarang keputusan.'
'Apakah mereka akan berbincang soal pencebohan Israel di Gazza?' Tanya saya.
'Mungkin' jawab kawan saya sinis.' Bila mereka terasa nak minum kopi bersama' sambung sahabat saya sambil tersenyum.
Di Palestin pemimpin-pemimpinnya tidak bersatu. Hamas hanya dapat memerintah diGazza sahaja walau pun menang pilihanraya. Fatah dibawah pimpinan Mahmood Abbas masih menguasai Tebing Barat. Amerika Syarikat dan Israel begitu lantang menghentam Hamas sebagai pertubuhan ganas
Inilah realiti di bumi Palestin. Pilihan rakyat dinafikan hak memerintah menyebabkan rakyat berpecah belah dan menimbul masaalah yang bertambah.
Entahlah....saya terhidu sedikit persamaan di bumi Perak. Kerajaan yang di pilih rakyat nampaknya sengaja dinafikan hak mutlak memerintah dengan pelbagai rintangan dan halangan. Terbaru adalah arahan Sdr Zahid Hamidi melarang Ketua-ketua Jabatan dan Agensi Persekutuan menghadiri mesyuarat kerajaan negeri.
Sesungguhnya rakyat telah membuat pilihan pada bulan Mac tahun lalu. Hormatilah pilihan rakyat dan perkenan AlSultan. Kepada Sdr Zahid Hamidi, anda wajar bermuhasabah. Kuasa yang ada pada anda hanyalah amanah sementara. Dikurniakan Allah untuk menduga sejauh mana kemampuan anda untuk memikul tanggungjawab dan amanah tersebut. Anda bukan menyelesaikan masaalah tapi mencari balah.
Ingatlah umat yang tidak bersatu akan hancur dimamah musuh. Sekadar satu peringatan kepada pemimpin-pemimpin,, janganlah umat Islam Melayu di Malaysia hancur kerana kerenah anda sekelian yang lupa amanah Allah dan lupa tanggungjawab.
No comments:
Post a Comment