Aku suka mengumpul jam lama yang berjenama. Terutama jam buatan Swiss. Jadi bila ada kelapangan dan kesempatan, berkunjunglah aku ke Locken pada pagi Ahad cari jam vintage, jam lama. Tapi lama jugak dah tak pergi, ada saja hal lain di pagi hari.
Teringat aku jam pertama yang dibeli pada tahun 1973 dengan gaji bulan pertama. Jam Enicar automatic buatan Swiss berharga RM450.00. Mahal dah tu ketika tu. Berat sikit tapi tampak hebat (perasan...). Tiga puluh tahun aku simpan dan jaga baik-baik tapi dikebas manusia setan semasa rumah di ceroboh masuk pada akhir tahun 2004.
Dah lebih 40 bijik jam tangan, 30 puluh jam dinding dan jam meja terkumpul sejak jam Enicar pertama. Ada yang masih anggun, ada yang dah moyok, ada yang masih dipakai, ada yang dah tak bergerak dalam kotak.
Kutip dan kumpul jam karat dan jam lama ni rupanya hobi ramai orang. Tak kira orang lama dan orang muda. Jadi baru-baru bila aku terjumpa laman web beberapa orang kaki jam lama, aku jadi cukup teruja. Apa tah lagi deme ni banyak pulak collection yang deme sudi let go. Dapat kawan dan dapat jam.
Pilih punya pilih dapat juga tiga bijik jam Omega tahun 1970an dan sebijik jam 'Helbros' buatan Perancis yang aku boleh beli. Nama saja jam lama, digigit jugak dekat empat ribu ringgit. Lebuh duit pencen...
Tapi okay gak, beli cara digital sekarang senang dan mudah. Ikut cara orang muda berurusan. Pakai internet pakai katalog. Mana tak kebuloq letak tepi. Mana yang berkenan di hati, cepat duit huloq. Jimat masa jimat tenaga. Kaki tak payah meredah hati tak susah.
Kalau penjual ada kredibiliti aku senang hati. Dah tua-tua ni jalan jauh-jauh kadang-kadang kaki boleh terseliuh. La ni lagi baik kalau dapat beli pakai jari.
Beli jam lama pun biar ada gaya, kena ada cara asalkan tak menyusah sesiapa, hidup tetap aman bahagia.