Berurusan dengan jabatan dan agensi kerajaan di Ipoh ni memang saya biasa sangat... Ramai yang cekap tapi masing ada yang malap. Ada pegawai yang berdedikasi dan ada pegawai yang tak lekat di kerusi, banyak kerenah dan birokrasi. Kekadang menunggu berjam-jam untuk berjumpa pada hal urusan boleh selesai tak sampai lima minit.
Hari ini ada sedikit urusan di Pejabat Imigresen Perak, di Ipoh, sebuah jabatan yang terkenal cekap dan cepat.
Pagi ini ditemankan Muzill, saya peruntukkan satu jam setengah untuk urusan pembaharuan permit kerja pembantu rumah di Pejabat Imigresen Ipoh. Itulah tempoh yang diambil tahun lalu untuk bereskan permohonan hingga siap.
Berbekalkan semua dokumen dan surat permohonan yang perlu, wang levi sebanyak RM495 dan pengesahan Fomema mengenai siapnya laporan kesihatan, jam 11.00 pagi saya tiba di Pejabat Imigresen Perak, di Ipoh yang hanya lima minit daripada rumah.
Orang agak ramai di pejabat. Seperti biasa singgah dan beratur di kaunter 2 untuk serahan dokumen dan ambil nombor giliran. Alahai lupa pulak lampirkan salinan kad pengenalan. Tinggalkan semua dokumen dengan En Hadree, pegawai imigresen yang bertugas di kaunter 2, terus turun ke kedai photostat di aras bawah untuk buat salinan kad pengenalan. Naik semula ke tingkat 1 terus ke kaunter 2 dengan salinan kad Pengenalan untuk serahan.
Semua dokumen disemak oleh pegawai didapati lengkap. Lega...ambil tempat di kerusi tersedia untuk menunggu proses selanjutnya sambil layan diri dengan program TV yang terpancar.
Lima minit nama dipanggil untuk proses bayaran levi sebanyak RM 495 secara tunai. Selesai bayaran tunggu sekejap lagi sambil melayari berita dalam The Star online melalui Samsung Tab 7.7 milik Muzill.
Tepat jam 11.30 pagi terdengar nama dilaungkan dari kaunter 2. Bergegas pergi disambut dengan senyuman En Hadree memaklumkan bahawa permohonan telah dilulus, siap sempurna sambil mengunjukkan pasport pembantu rumah. Tak sampai pun 30 minit, urusan sudah beres. Ini sudah kira 'record time' !
Kami senyum balas, terima kasih tanda puas.
Kami senyum balas, terima kasih tanda puas.
Gembira dengan kecekapan Pegawai-pegawai Pejabat Imigresen Perak di Ipoh yang memudahkan urusan rakyat. Harapnya semua pelanggan mendapat layanan yang sama terbaik daripada pejabat tersebut. Syabas kepada En Hadree dan semua pegawai-pegawai yang berdedikasi.
Kerja cepat bawa berkat.
Inilah satu contoh yang wajar diteladani oleh jabatan-jabatan kerajaan yang lain.
Kesungguhan Pejabat Imigresen Perak Ipoh yang berterusan meningkatkan tahap kecekapan kerja, saya puji dan hargai...
Terima kasih
No comments:
Post a Comment