Wednesday, July 16, 2008

AKIBAT URUS TADBIR YANG LESU

Akhbar KOSMO hari ini memaparkan cerita kemelut bolasepak Perak. Cerita derita persatuan yang kantungnya sudah gersang. Cerita persatuan yang dilanda ketidakharuan dan hilang hala tuju kerana kesulitan memenuhi tuntutan dan komitmen perbelanjaan. Cerita pemimpin persatuan yang tidak lagi punya idea untuk mencari ongkos melunaskan gaji pemain hingga mahu digadaikan tapak Kompleks Bolasepak negeri Perak seluas 11 ekar di Meru Raya anugerah Kerajaan negeri Perak semasa Tuanku Raja Muda jadi Presiden persatuan dan Tajol Rosli Menteri Besarnya.

Malangnya tanah yang mahu digadai dan dijual tidak pula diketahui oleh bapak-bapak pemimpin persatuan tersebut, siapa sebenarnya yang mengusahakan sehingga tapak tersebut menjadi milik Persatuan Bolasepak Perak. Maka diusulkan bahawa Ramli Ngah Talib yang punya usaha.

Bukankah itu satu kebiadaban terhadap Raja Muda yang letih berusaha sehingga tercipta satu hakmilik sekeping tanah untuk kompleks bolasepak negeri Perak atas nama PERSATUAN BOLASEPAK PERAK?

Inilah akibatnya jika pemimpin persatuan hanya pandai berkempen untuk merebut jawatan tetapi apabila berjaya beroleh tempat dan posisi dalam persatuan jadi buntu bagaimana cara menjana kekuatan dana supaya persatuan bergerak lancar dan jaya.

Lantas diraba dan dicari dalam kegelapan punca mungkin merosotnya dana sehingga segala apa belanja tidak lagi bisa dilunas. Kos levi stadium dipinta persatuan supaya MBI melupuskan seolah-olah elektrik lampu limpah Stadium Perak semasa perlawanan percuma barangkali. Gaji pemain terlewat dijelas, caruman KWSP jaminan masa depan, tertunggak berbulan. Potongan cukai pendapatan dialpakan bayaran. Entah apa lagi yang tertunggak dan terhutang.

Jadi, dipilihlah mereka cara pintas dan jalan mudah jaja harta dan jaja tanah untuk selesai masaalah biar segera tapi kemudian kembali papa.

Tanpa segan silu pemimpin persatuan kemudian pula menagih bantuan Kerajaan Negeri bagai pengemis asing ditepi jalanan. Apa kena mengena Kerajaan Pakatan Rakyat yang baru bertapak tiga empat bulan baru cuma dengan bolasepak Perak? Ikut Perlembagaan persatuan, Menteri Besar Perak bukan pun Presiden automatis Persatuan macam di Kedah, Negeri Sembilan, Perlis atau Selangor. Apa hebatnya bolasepak Perak sampaikan kerajaan nak tanggung beban sampai berjuta. Kalau badminton ke, acara terjun ke atau gimnastik mungkinlah bersebab kerana telah mampu menghasil juara diperingkat antarabangsa. Ini bolasepak Perak, nak bersaing di peringkat Liga Super TM pun cungap.

Nak cari penyelesaian bukan susah. Rujuk semula pakej produk dan Perlembagaan persatuan. Di situ ada jawapan muktamat. Lihat bentuk permainan yang dipersembahkan kini berbanding dengan era Tony Netto.

Semak Perlembaggan persatuan. Lihat kaedah kongres tahunan, lihat tatacara pemilihan pemegang jawatan, lihat peruntukan pertanggujawaban Presiden, Timbalan Presiden, Naib-naib Presiden, Setiausaha, Bendahari dan AJK.

Kenapa kongres tahunan yang sepatutnya diadakan setiap tahun sebelum 31 Mei tiap-tiap tahun tidak diadakan bagi tahun 2007 dan 2008?

Kenapa naib Presiden boleh memangku jawatan Presiden sedangkan Perlembagaan persatuan tidak membenarkan?

Kenapa naib Presiden juga mahu menjadi Bendahari disamping memangku jawatan Timbalan Presiden dan memangku jawatan Presiden?

Kenapa kongres luar biasa tidak diadakan sedangkan Perlembagaan persatuan menetapkan bahawa kongres luar biasa hendaklah diadakan dalam masa enam bulan jika Presiden meletak jawatan?

Kenapa penyata kewangan persatuan yang beraudit bagi tahun 2006 dan 2007 tidak dibentangkan untuk kelulusan ahli-ahli di kongres tahunan?

Adakah bajet tahunan tahun 2006, 2007 dan 2008 telah dibentang untuk kelulusan AJK dan digunakan sebagai panduan pengurusan kewangan persatuan secara berhemah?

Mudahkan jika perlembagaan di ikuti dan ahli-ahli diberi hak memilih pemimpin baru yang berkaliber.

Kesimpulannya bukanlah gaji pemain dan kos pasukan Piala Presiden menjadi masaalah utama.

Pakejlah produk anda dengan hebat, menarik dan tertarik. Fahamilah Perlembagaan persatuan dan ikutlah aturan secara santun dan tertib.

Jika tidak mampu memimpin, undur diri secara rela hati dan beri laluan kepada yang pakar dan bijak pandai.

Tentunya urus tadbir persatuan tidak lagi lesu dan layu tetapi kembali segar, mantap dan bersinar.


 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...