Wednesday, July 16, 2008

PERGINYA SEORANG PEJUANG BOLASEPAK

Jam 8.30 pagi aku bergegas dari Ipoh ke Masjid Alor Merah, Alor Setar untuk memberi penghormatan terakhir kepada seorang pejuang bolasepak tanah air, Dato' Basri Akil kembali kerahmatullah semalam jam 3.00 petang setelah rebah di Istana Anak Bukit dipercayai kerana sakit jantung.

Aku mula mengenali beliau secara dekat semasa menjadi Pengurus pasukan Piala Presiden Negeri Perak beberapa tahun lalu. Kami sering bertemu pada perlawanan antara Kedah dengan Perak di Stadium Darulaman, Alor Setar. Sebenarnya aku amat kagum dengan kegigihan beliau menyusun program pembangunan bolasepak Kedah sehingga lahir begitu ramai pemain muda yang berjaya mewarnai bolasepak Kedah dan Malaysia berabad lamanya.

Beliau sanggup turun padang menyaksikan perlawanan-perlawanan Piala Presiden dan memberi kata-kata semangat dan perangsang kepada pemain-pemain muda Kedah. Berapa kerat pemimpin bolasepak negeri hari ini yang sanggup berbuat demikian? Perlawanan Piala Presiden bukannya perlawanan glamor. Penonton pun tak seberapa. Tapi di situlah bakat terserlah dapat dikenalpasti untuk digilap dan diasah sehingga boleh diketengah di persada negara dan antarabangsa. Sayang, ramai pemimpin bolasepak hari ini tidak secelik mata, seikhlas budi dan setulus hati seperti Ahmad Basri.

Tiap kali kami bertembung di Stadium Darulaman, aku amati cara pergaulan beliau yang amat akrab dengan jurulatih-jurulatih yang juga bekas pemain-pemain, pemain-pemain muda dan pekerja-pekerja stadium. Aku kagum dan sedikit-sedikit aku menimba ilmu bolasepak secara tidak langsung darinya. Aku baca kenyataan-kenyataan beliau menegur FAM secara tajam tapi tepat. Aku ikuti jawapan-jawapan beliau dalam forum. Inilah insan bolasepak sejati. Walau pun dihukum berkali-kali kerana tidak mengikut rentak tari FAM, beliau tetap dengan pendiriannya memberi penekanan kepada program pembangunan bolasepak secara tersusun dan terancang.

Petang semalam Ahmad Basri Akil dipanggil 'pulang'. Di Masjid Alor Merah, masjid kampungku, jam 11.00 pagi ini, ramai saudara mara, rakan dan taulan turut bersembahyang jenazah. Baginda Raja Perlis dan rombongan turut hadir di masjid tersebut memberi penghormatan.

Penghormatan terakhir buat seorang pejuang bolasepak sejati...

ALFATIHAH.


 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...