Thursday, October 16, 2008

SAMBUTAN HARI RAYA AIDIL FITRI.....


Syawal sudah melangkaui 16 hari. Namun jemputan menghadiri jamuan hari raya Aidil Fitri masih rancak diterima sehingga akhir bulan. Aku tetap berterima kasih kepada rakan-rakan yang masih ingat diri ini dan sudi menghulurkan jemputan. Insyaallah untuk rakan-rakan sedemikian masa sentiasa aku luangkan.

Aku terfikir juga hebat sungguh orang-orang Islam di Malaysia ni puasa Ramadhan sebulan, raya pun sebulan juga sepanjang Syawal. Tak kisahlah harga barangan dah melambung naik ke, harga petrol dan diesel turun berdikit ke, tradisi tetap mahu dikekalkan.Tradisi yang dikira baik jika tujuan utama untuk mengerat silaturrahim.

Cuma aku renungkan, mungkin ada lojik juga tradisi raya sebulan sepanjang Syawal ni ditinjau semula apatah lagi kos barangan kini bukan lagi murah. Manakala masa, tenaga dan sumber pula perlu digembelingkan untuk menangani keadaan ekonomi yang semakin serabut.

Tanda-tanda dunia akan menghadapi kemelesetan jelas kini apabila ekonomi dua negara gergasi dunia iaitu Amerika dan UK sedang tenat. Pasaran saham di dua Negara tersebut merudum. Banyak bank dan institusi-institusi kewangan di Amerika dan UK terpaksa diselamatkan kerajaan melalui bail out.

Eloklah kita mula beringat, berjimat dan berhemah belanja mulai dari sekarang sebagai langkah awal menghadapi gawat.


 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...