Friday, November 21, 2008

DARI SILIBIN KE P.PATTO

P.Patto mungkin seorang yang berjasa. Dia mungkin satu nama besar dalam perjuangan partinya .Dia mungkin seorang politikus dan pemidato hebat di zamannya. Penguasaan bahasa Melayunya mengkagumkan sehingga mampu membaca tulisan Jawi dengan lancar. Jasanya mungkin tersohor pada kaumnya sehingga perlu namanya diabadikan dalam masyarakat.

Maka itu cadangan dibuat supaya namanya diabadikan sebagai satu nama jalan di Bandaraya Ipoh. Maka itu nama JALAN SILIBIN dicadangkan oleh pembesar negeri supaya ditukarkan kepada JALAN P.PATTO sempena nama yang sohor itu.

Cuma cadangan pertukaran nama JALAN SILIBIN mendapat tentangan hebat dari peniaga setempat termasuk dari kalangan kaumnya. Dr Siva, doktor gigi keluarga kami mengepalai segerombolan peniaga-peniaga di sepanjang Jalan Silibin membantah cadangan tersebut. Bantahan menjurus kepada banyak permasaalahan dan kos tinggi yang akan timbul.

Bukanlah satu kesalahan mengenang jasa seseorang pemimpin yang dihormati oleh semua kaum. Sesuatu yang patut dan memang pun digalakkan. Tujuannya murni supaya anak bangsa tidak mudah lupa jasa pemimpin.

Tetapi biarlah tujuan murni itu dilaksanakan dengan cara dan kaedah yang bersesuaian dan tidak membebankan masyarakat.

Cara mudah ialah kekalkan yang lama seperti sedia kala. Kenalpasti tempat baru, jalan baru, dewan baru atau satu taman rekreasi baru untuk diabadikan nama pemimpin. Tak ada sesiapa pun membantah masa taman rekreasi Ipoh di pinggiran Sungai Kinta baru dibina dan dinamakan Taman DR Seenivasagam.

Nama itu kekal masyhur hingga kini.

Tak salah kerajaan negeri melalui Majlis Bandaraya Ipoh membina sebuah lagi taman rekreasi baru seperti di kawasan Station 18, Pasir Puteh atau di satu kawasan di sebelah Buntong dan namakan taman rekreasi tersebut sebagai Taman P.Patto.

Saya sendiri pun boleh tunjukkan kawasan lapang milik kerajaan melebihi 30 ekar yang sememangnya sesuai untuk kawasan rekreasi di Station 18, Pasir Putih atau di Buntong.

Cuma ingat, masih ramai nama-nama tersohor di Perak yang perlu disanjung jasa dan di abadikan pada tempat-tempat sesuai. Nama-nama pejuang kemerdekaan seperti Dr Burhanuddin AlHelmi, Abu Bakar Al Baqir dan Professor Zulkifli Mohamad, tidak wajar di biarkan pudar, tenggelam ditelan zaman.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...