Kematian adalah kepastian. Masa dan ketika juga adalah satu ketentuan. Cuma kita tidak pernah diberikan notis selamat tinggal dalam perjalanan ke alam akhirat.
Berita-berita kematian sanak saudara dan sahabat handai , menziarahi jenazah, bersolat jenazah dan kesempatan berada di kuburan memberi penghormatan terakhir menimbulkan semacam perasaan bahawa apabila tiba masanya, ajal menggamit tanpa berlengah walau sesaat jua.
Mungkin pun tidak sempat wasiat terakhir, lambaian atau salam perpisahan. Pergilah dengan tiada banyak pesan. Pergelutan di saat akhir yang mungkin selesa atau seksa, mungkin perit atau sakit, mungkin senang dan tenang, semuanya bergantung pada amalan.
Berita kematian sememangnya banyak mengingatkan kita bahawa hanya amalan tulus ikhlas semasa hayat yang mampu menjadi bekalan di akhirat.
Sesungguhnya saat-saat menghadiri kematian pasti akan menimbul kesedaran pada setiap insan, apatah lagi jika melibatkan orang-orang tersayang.
Kepiluan dan kesedihan memerlukan kesabaran untuk menahan sebak dan hiba yang meruntun perasaan. Namun, yang dituntut ketika itu adalah melafazkan kesyukuran demi merelakan pemergian.Yang masih hidup dituntut meneruskan tugas dan tanggungjawab dengan penuh ehsan.
Tugas sebagai insan Muslim yang faham akan tanggungjawab berbakti kepada agama, diri sendiri, ibu bapa, keluarga, masyarakat dan bangsa perlu dilaksana secara adil dan bijaksana.
Mungkin bakti mudah yang pertama boleh dilakukan adalah membersihkan tanah kuburan/ pusara orang-orang Islam yang rata-rata semak samun berlalang tidak terurus.
Tentulah lebih sempurna jika kebersihan dan prasarananya dipelihara dan diurus mesra, dikemas rapi bagaikan sebuah taman indah yang mudah di kunjungi sesuai dengan Islam yang cintakan keindahan dan kecantikan.
Semoga semua percaturan kita dalam menjalani kehidupan di dunia ini adalah sentiasa mengikut landasan yang penuh dengan keberkatan dan keikhlasan serta mendapat keredhaan Nya.
Salam hormat
dma
No comments:
Post a Comment