Sunday, November 16, 2008

TAHNIAH KEPADA PIMPINAN BARU PFA

Petang semalam ramai sahabat mengirim SMS mengenai barisan baru kepimpinan Persatuan Bolasepak Perak (PFA). Terima kasihlah atas berita yang dikirimkan walau pun saya hanya seorang peminat dan pemerhati.

Alhamdulillah tawaran YAB Dato Seri Mohamad Nizar, Menteri Besar Perak, untuk menerajui PFA disambut mesra oleh kongres semalam yang bersetuju melantik beliau sebagai Presiden baru sesi 2008-2010. YB Seah, Exco Sukan Negeri Perak pula dilantik sebagai Timbalan Presiden.

Saya yakin dengan sokongan daripada kepimpinan dan wakil-wakil daerah-daerah yang juga turut terpilih menganggotai Jawatankuasa baru, tentunya usaha memulihkan PFA tidak sukar.

Tahniah kapada Dato' Seri Nizar dan YB Seah. Semoga kalian berdua berjaya dalam usaha membawa semula sinar gemilang kepada bolasepak Perak.

Kepada Dato' Seri Hisan, Cikgu Khairuddin, En Aziz, Isham, Rizal, Cikgu Sahar, Haji Annuar Salim dan semua yang lain yang turut berjaya terpilih semalam, tahniah juga diucapkan. Sebagai insan-insan yang memang banyak pengalaman dalam arena bola sepak, saya yakin anda semua mampu memberi sokongan padu dan kepada Dato' Seri Nizar dan YB Seah.

Apa jua kekosotan dan permasalahan, tentu mampu diselesaikan jika tindakan diambil dalam semangat berpasukan. Apatah lagi bolasepak adalah permainan berpasukan.

Sebagai peminat bolasepak Perak yang memerhati dari jauh, jika dapat disyorkan, untuk memantapkan lagi pengurusan PFA, wajarlah jawatan Setiausaha Kehormat disandang oleh seseorang yang rapat dengan Menteri Besar Perak supaya perjalanan pengurusan dan pentadbiran persatuan mudah dan berjalan lancar. Mungkin Sdr Anuar Hashim, Setiausaha Akhbar Menteri Besar sesuai untuk memikul tugas Setiausaha Kehormat. Beliau memang mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan dan pentadbiran bolasepak tempatan. Tentunya pembentukan pasukan untuk bersaing di tahun hadapan bukanlah sukar bagi seseorang sepertinya uruskan.

Untuk jawatan Bendahari Kehormat, carilah seorang akauntan bertauliah yang berpengalaman. Urusan kewangan kerja rumit. Bukan senang nak rungkaikan tunggakan sekitar RM 3.2 juta tu! Nak berdepan dengan KWSP, nak berbincang dengan Lembaga Hasil lagi, nak kemaskini gaji pemain dan bekas pemain. Ah, seribu satu masalah dengan dana, wang dan akaun. Tapi bukanlah hal besar jika seorang calon yang berpengalaman di kenalpasti.

Ramai akauntan berpengalaman yang bertugas di Agensi Kerajaan seperti di Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak, di Lembaga Air Perak dan di Majlis Bandaraya Ipoh mampu mengisi jawatan Bendahari Kehormat dengan mudah.

Yang baiknya, jika penjawat jawatan Bendahari Kehormat dipilih dari kalangan akauntan agensi kerajaan, mereka tentunya mempunyai pegawai-pegawai kewangan dan akaun yang terlatih dan cekap menyelenggara rekod perakaunan dan kewangan dengan kemaskini dan teratur.

PFA perlu melihat jauh jauh kehadapan. Banyak lagi urusan kewangan, selain dari kemaskini akaun dan lunaskan bayaran tunggakan, yang perlukan perhatian.

Penaja dana perlu dikenalpastii, penaja pakaian juga perlu keutamaan, bajet tahun hadapan wajar dirumus dan di bentang.

Salah satu sebab pendapatan daripada perlawanan di Stadium Perak bagi tahun 2007 dan 2008 merosot adalah sambutan dingin daripada peminat tempatan. Mungkin sudah tiba masanya ,PFA melantik seorang pemimpin daripada Kelab Peminat Bolasepak Perak untuk menjadi ahli dalam kepimpinan baru. Mungkin beliau dapat sama-sama mencari pendekatan baru meramaikan peminat di stadium.

Jangan juga lupa 'Kompleks Bolasepak Negeri Perak' di Meru Raya diatas tapak seluas 11.0 ekar, kurniaan kerajaan negeri semasa PFA dibawah pimpinan cemerlang Tuanku Raja Muda masih belum terlaksana. Hendaknya jangan ada lagi cerita tapak kompleks ingin dijaja.

Kepada YAB Dato' Seri Nizar, YB Seah dan seluruh kepimpinan baru PFA, diucapkan 'SELAMAT BERTUGAS DAN SEMOGA BEROLIH KEJAYAAN'.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...