Friday, November 7, 2008

SELAMAT BERANGKAT KE TANAH SUCI SEMOGA MENDAPAT HAJI YANG MABRUR

Ketika saya menulis ini, adik saya, Kamarudin dan isterinya serta 8 orang anggota keluarga kami telah berada di Komplek Tabung Haji , Kelana Jaya bersiap-siap untuk penerbangan ke Tanah Suci malam ini untuk menunai fardhu haji .

Saya amat bersyukur kerana mereka mendapat kesempatan tahun ini setelah menangguh penerbangan tahun lalu atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Saya amat terhutang budi kepada adik yang seorang ini. Beliau banyak berkorban demi kejayaan saya dalam bidang akademik. Di zaman kami sama-sama membesar, beliau banyak menghabis masa membanting tulang membantu ayah di sawah. Oleh kerana tubuhnya yang lebih sasa, beliau lebih gagah untuk kerja-kerja fizikal dan menjadi pilihan ayah jika waktu ke sawah.

Tubuh saya agak kerdil semasa kecil. Tidak banyak kerja yang mampu di lakukan di sawah kecuali sebagai budak suruhan menghantar makanan.

Selepas tingkatan lima, adik saya ‘memilih’ untuk makan gaji membantu ayah menyara keluarga kami seramai 9 beradik. Sementara saya, abang sulung terus menyambung pelajaran hingga beroleh kelulusan professional.

Sesungguhnya pengorbanan mu dik, abang kenang sepanjang hayat. Tidak pernah walau sesaat pun dilupai.

Kepada semua jemaah haji tahun ini, selamat pergi dan selamat kembali. Semoga selamat menjalankan ibadah dan beroleh haji yang mabrur.

Istimewa untuk adik dan ahli keluarga, abang doakan kalian sentiasa dalam lindungan Allah swt, sihat sejahtera, selesa dan sempurna mengerjakan haji dan selamat kembali ke tanah air bila tiba waktunya.

Jangan lupa ziarah sanak saudara kita di Jeddah, jika berkesempatan. Sampaikan salam abang sekeluarga buat mereka.

Nota kaki:
Terima kasih dan penghargaan kepada YB Dato’ Seri Ahmad Zahid bin Hamidi kerana sudi melayan rayuan saya dan meluluskan permohonan rombongan ini untuk menunaikan ibadah haji tahun ini.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...