Namun, satu aktiviti anjuran Kelab Bakti Gunung Keledang pada hari Sabtu lalu seolah-olah meniup semangat untuk aku kembali membuat sedikit coretan baru. Aktiviti 'Gotong -royong Membersih Tanah Perkuburan Gurap, Ipoh' sempena Maulidul Rasul anjuran bersama Majlis Bandaraya Ipoh mendapat perhatian dan sambutan menggalakkan daripada masyarakat.
Penyertaan ramai ahli-ahli keluarga Kelab, pelajar-pelajar Maahad Tahfiz berdekatan, wargakerja MBI dan orang ramai amat menggembirakan pengurusan tanah perkuburan. Betapa baiknya kalau aktiviti sebegini diteruskan sebagai aktiviti tetap masyarakat meliputi semua tanah perkuburan Islam di setiap pelusuk.
Sememangnya Islam menganjur umatnya supaya sentiasa mementingkan kebersihan dalam apa jua perkara dan perlakuan dalam kehidupan. Baik perkara pakaian, tempat tinggal, makanan, minuman,peradaban, pergaulan, percakapan, akhlak waima menguruskan tanah perkuburan.
Tanah Perkuburan Islam, Gurap seluas 15 ekar terletak dalam bandaraya Ipoh tetapi kawasannya seringkali diliputi semak samun. Dinyatakan oleh pengurusan tempat tersebut tidak dapat diuruskan dengan rapi dan sempurna kerana kekurangan dana.
Semoga usaha murni NGO Melayu Islam seperti Kelab Bakti Gunung Keledang mengambil inisiatif menganjur gotong-royong membersih tanah perkuburan membangkitkan kesedaran pentingnya tanah perkuburan dikekalkan bersih sebagai satu ciri kebersihan dalam Islam.
Barangkali jika setiap individu Islam termasuk para pemimpin politik Islam meletakkan kebersihan sebagai antara ciri utama perjuangan diri, tentunya dunia Islam lebih aman sempurna, murni dan suci.
1 comment:
Apa khabar Dato' sekarang...? Minta maaf kerana tidak pergi ziarah Dato' semasa di Hospital Pantai Putri. Baru dapat tahu Dato' admit hospital hari ini...
Harap Dato' sekarang berada di dalam keadaan sihat sejahtera..
Post a Comment