Wednesday, September 2, 2009

LAWATAN SUSULAN KE KAMPUNG MAKMUR

Semalam Selasa tanggal 01 September 2009 jam 11.10 pagi, satu rombongan lapan orang  terdiri daripada pegawai-pegawai hospital dan wakil-wakil daripada Kelab Bakti Gunung Keledang diketuai oleh Dr Dilshaad, Ketua Eksekutif, Hospital Pantai Puteri, Ipoh mengadakan lawatan susulan ke perkampungan Orang Asli, Kampung Makmur, Tanjung Rambutan.

Tujuan lawatan adalah untuk meninjau secara lebih dekat ruang bantuan yang dapat dihulurkan oleh pihak hospital dan Kelab Keledang sambil mengemaskini beberapa cadangan bantuan yang difikirkan bersesuaian  termasuk menjadikan Sekolah Rendah Kebangsaan Kampung Tonggang berdekatan sebagai sekolah angkat.

Sedih sekali apabila dimaklumkan Ustaz Muid bahawa peratusan keputusan UPSR di sekolah tersebut adalah KOSONG %.

Laporan yang disediakan oleh Ustaz Muid daripada Jakim, Sdr Harith dan Sdr Muzill daripada lawatan awalan Julai lalu dijadikan asas dalam merangka cadangan bantuan.

Perjalanan 45 minit untuk sampai ke kampung terasa amat menarik dan menyenangkan  apatah lagi pemandangan Empangan Sultan Azlan Shah jelas kelihatan. Track pendakian agak curam, berliku, berlubang-lubang dan bersimpang siur sungguh mencabar.

Terasa damai dan tenang bila berada di kawasan tanah tinggi yang dijadikan perkampungan Orang Asli Kampung Makmur.

Kalaulah ada jalan yang sempurna ke kawasan ini sudah tentu pembangunan cepat sampai dan anak-anak Asli tentu mudah ke sekolah dan penduduk-penduduk Kampung Makmur dan kampung yang berhampiran mudah berurusan di Tanjung. 

Mungkin pemimpin negeri ada yang tergerak hati untuk melakukan sesuatu projek  yang memberi impak merubah taraf kehidupan di Kampung Makmur lepas ini.

Harapan kami di NGO seperti Kelab Keledang dan badan korporat seperti Hospital Pantai Puteri melalui program ‘Corporate Social Responsibility’nya disamping memberi bantuan juga  menyediakan sebuah jendela penyampai maklumat untuk menggerak kesedaran masyarakat di luar. 

Sekembali dari lawatan singkat pada jam 2.00 petang, jadual kerja dan aktiviti yang dicadangkan berjaya difokuskan.

Dr Dilshaad dijadualkan akan muncul dalam program ‘Selamat Pagi Malaysia’ pada hari Selasa 08 September 2009 jam 8.30 pagi. Harapnya beliau akan dapat menjelaskan program CSR hospital termasuk yang telah disusun untuk Kampung Makmur dan kampung-kampung berhampiran.

Semoga apa jua yang dirancang oleh Hospital Pantai Puteri dan Kelab Keledang akan menjadi pencetus dan catalyst kearah menaik taraf kehidupan dan tahap kesihatan penduduk serta pencapaian pendidikan anak-anak Asli Kampung Makmur dan sekitarnya...

... kerana mereka juga berhak mengecapi nikmat kemerdekaan.

1 comment:

JACK' TREASURE CHEST said...

Tahniah Dato' meneruskan usaha-usaha yang murni, bertambah keberkatan Ramadhan Al Mubarak

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...