Masihkah ingat dengan peristiwa Highland Towers dan kejadian-kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa?
Tapi seperti biasalah, kejadian sebegini hanya diingati seketika sahaja. Lantas kemudiannya semua lupa sehingga kejadian berulang semula.
Tentulah ada peraturan-peraturan pihak berkuasa tentang cara-cara yang betul untuk memotong cerun. Tentu ada cara-cara penguatkuasaan bentuk pembangunan bangunan berhampiran cerun.
Pastinya ada tatacara pembangunan dan pembinaan yang tertib dan tersusun.
Kita tentu tidak suka malapetaka berulang disebabkan kealpaan dan kerja-kerja samberono manusia. Kita tentunya tidak selesa melihat gambar-gambar mayat dikeluarkan daripada timbusan-timbusan tanah runtuh. Namun kenapa kerja-kerja pemotongan tanah, pembangunan dan pembinaan bangunan sesuatu projek tidak mengikut ketertiban peraturan dan tatacara sedangkan dalam wudhu' dan solat harian pun kita diajar kaedah tertib?
Tentunya kita jelik mendengar ada menteri berteriak bangunan tiada kelulusan setelah malapetaka menimpa.
Sebagai imbasan, saya pernah menghantar surat kepada pihak berkuasa merujuk kepada kerja-kerja pembersihan bukit dan pemotongan tanah pembinaan rumah-rumah berhampiran kawasan perumahan yang saya didiami. Malangnya, tak nampak pun apa-apa tindakan.
Hari ini kerja-kerja pemotongan tanah di kawasan tersebut masih berjalan lancar. Tidak kelihatan apa-apa papan tanda yang menunjukkan bahawa projek yang dijalankan telah mendapat kelulusan daripada Pihak Berkuasa tersebut pun. Kerja pemotongan cerun sudah terlalu hampir dengan kawasan perumahan Puncak Meru, ipoh yang didiami oleh pesara-pesara kerajaan yang telah banyak berjasa.
Janganlah hendaknya terjadi satu lagi tragedi tanah runtuh barulah pihak-pihak berkuasa terhegeh-hegeh nak menjenguk dan saudara mara serta para pemimpin pun menangislah teresak-esak.
Pihak pemaju juga perlu akur nasihat jabatan kerajaan seperti JKR yang sentiasa mengingatkan tentang perlunya menjaga cerun seperti papan tanda yang dipaparkan walau pun cerunnya tidak seberapa. Sekadar ingatan buat diri sendiri dan sahabat-sahabat, kita dituntut untuk melaksanakan sesuatu amalan atau pekerjaan dengan tertib dan mengikut tatacara yang ditentukan supaya kesempurnaan terjamin dan perkara yang tidak baik dapat dihindarkan.
Kita juga dinasihatkan supaya menegur mana yang tidak kena supaya ada penambahbaikan.
Renung-renungkanlah…
No comments:
Post a Comment