Wednesday, June 10, 2009

BILA PELUANG DATANG...

Selain daripada mengumpul jam lama , saya juga minat mengumpul wang lama. Tak kira sama ada wang kertas atau syiling.

Semasa di bangku sekolah rendah pada akhir tahun lima puluhan, apabila ayah atau emak memberi saya wang kertas baru, saya suka simpan dalam buku di antara helai lembaran supaya wang kertas tersebut kekal cantik dan 'keras'. Sementara duit syiling pula di simpan dalam tabung gajah yang kemudian disorok bawah katil.

Masa berlalu, hobi tersebut turun tenggelam bersama koleksi yang entah ke mana pergi.

Baru-baru ni minat untuk mengumpul semula wang lama kembali segar. Maka dicarilah sumber-sumber yang boleh dikutip wang- wang lama terutama wang kertas dan syiling sebelum Merdeka.

Apabila koleksi sudah bertambah banyak, timbul masalah nak menyimpan secara teratur dan tersusun.

Bukan senang rupanya nak cari album yang baik untuk menyimpan wang kertas atau syiling di Bandaraya Ipoh ni.

Tengah hari tadi semasa mencari album di sebuah kedai stationery, terserempak dengan seorang apek tua yang kebetulan berada di dalam kedai tersebut. Rupanya dia seorang jurujual di sebuah kaunter dalam kedai tersebut.

Album tak dapat sebab stok dah habis tapi satu keping syiling lama dapat dibeli.

Barangkali dia terdengar saya bersembang dengan tuan kedai mengenai minat saya simpan duit lama. Dia keluarkan dari dompetnya sekeping syiling lama 'Straits Settlements' bernilai satu ringgit zaman King Edwards VII tahun 1907 dan tunjukkan kepada saya . Memang sahih syiling itu adalah asli sepertimana paparan dalam buku 'Malaysia Brunei Singapore Banknotes & Coins - 4th edition 2008'.

Bukan senang nak jumpa syiling yang dah berusia 102 tahun! Hanya sebanyak 6,841,531 keping syiling satu ringgit dikeluarkan untuk edaran pada tahun tersebut.

Tawar menawar selesai dan harga pertukaran dipersetujui, maka syiling tersebut kini milik saya.

 Nak kata UNC tak lah, E.Fine pun payah tapi V.Fine agak-agak boleh kot tapi lebih baik saudara-saudara tengok dan nilai lah sendiri.


  

Mungkinkah saudara-saudara juga berminat membelinya jika terserempak peluang sebegitu?

Ntahlah...

3 comments:

syiling peringatan malaysia said...

Salam, kena jaga elok-elok syiling nie

Ahmad Azanor Huslan Bin Ahmad Zanian said...

Kalau nak cari duit lama, kena rajin-rajin pergi ke Locken. Kadang-kadang duit yang berusia lebih daripada 110 tahun pun ada.

Saya cuma ada duit pokok pisang zaman Jepun dulu. Itupun terjumpa dalam guni di Lata Damak, Sungai Bayor pada tahun 1986.

Limau tambun said...

Kepada saudara syiling peringatan malaysia, terima kasih atas pesanan. Semua koleksi akan dijaga dengan baik.

Kepada saudara Lan, cadangan yang baik. Locken adalah satu lubuk mas.

Jaga duit jepun tu baik baik. Ada nilai tu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...