Thursday, June 25, 2009

HANYA CARI REZEKI HALAL, PAK...

Kes-kes penderaan pembantu rumah daripada Indonesia oleh majikan-majikan yang semakin kerap dilaporkan di dada akhbar mengenengahkan satu isu lama.

Mungkin yang lebih menyayat ialah ia berlaku di kala manusia mendabik dada mengaku sudah mencapai kemajuan. Pendera pula adalah daripada kalangan kelompok manusia professional dan berada.

Apakah di sebalik ketenangan, kelembutan dan kedamaian sebuah keluarga berada, naluri manusia sebagai spesis haiwan sebenarnya tidak pernah luntur. Malah membara menunggu saat dan ketika untuk menyala dan menyerang mangsa. Mangsa yang menjelma sebagai pembantu-pembantu rumah dari yang terpaksa meninggalkan suami dan anak atau ibu bapa, sekadar mencari sedikit rezeki sebagai bekalan dan modal.

Memang terdapat di kalangan pembantu rumah asing, ada yang bebal, malas dan sukar diajar. Pengalaman sendiri bukan sedikit jika mahu dipaparkan di sini.

Apa pun tidak siapa punya hak untuk mendera dan menyiksa kerana pembantu rumah juga ciptaan Allah Yang Maha Kuasa. Kepada kita mereka diamanahkan.

Mungkin fenomena penderaan menonjolkan sikap sebenarnya segelintir masyarakat Malaysia yang masih dalam kepuraan. Di sebalik senyum dan tawa, terselindung dendam, meluat dan benci yang hanya menunggu untuk meledak.

Penderaan fizikal mudah dikesan dan diubati. Penderaan mental di kedua belah pihak, pekerja dan majikan sukar dikesan dan membawa padah. Lebih payah ialah penderaan akidah. Kisah-kisah pekerja Islam dinafikan hak untuk mengerjakan solat, makanan halal bukan satu omong kosong.

Permasalahan perlu dikaji dari pelbagai sudut dan perspektif.

Ruang penyelesaian harus diterokai termasuk cara penyelesaian berani yang mungkin merombak kaedah sedia ada yang menempatkan pekerja Islam kepada majikan bukan Islam.

Memberhentikan terus pergantungan atas import pekerja asing dengan melatih tenaga lokal seperti program TV 'The Nanny School' mungkin satu pilihan.

Pembantu rumah daripada Indonesia datang ke sini untuk bekerja dan bukan diseksa. Latihlah mereka dengan jujur dan sempurna biar semua beroleh bahagia.

Bak kata pembantu rumah saya " Kami kemari hanya untuk cari rezeki halal, Pak"

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...