Sekali lagi dapat bersua muka dengannya dalam dua sesi berasingan dan mendengar satu amanah terpenting daripada negarawan Melayu terulung di abad ini. Personaliti yang saya sanjung sejak di bangku sekolah dan masih kagumi hingga ke hari ini. Kebetulan kami daripada sekolah yang sama iaitu Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar.Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia Keempat masih segak, gagah, bernas dan lantang menyuarakan pendapat dan amanat.
“ Masa depan orang Melayu akan datang akan gelap dan luntur.Suatu petanda tidak baik jika orang-orang Melayu hari ini terbongkok-bongkok kepada orang lain, sana sini minta maaf.” Demikian ujar Tun mengingatkan orang-orang Melayu di perhimpunan Mesyuarat Agong Tahunan Gagasan Melayu Perak.
Tersentak dan sebak dengan pengamatan Tun yang amat tajam menembusi cermin masa. Sedih dan sayu kerana bangsa Melayu kembali lena walau pun Tun telah cuba sedarkan sepanjang 22 tahun lamanya.
Kenyataan tegas dan pedas itu diulangi Tun semasa sesi soal jawab selepas jamuan makan tengah hari anjuran Kelab Bakti Gunung Keledang di Hotel Impiana.
Saya lantas bertanya Tun apakah yang perlu dibuat oleh orang-orang Melayu agar terus relevan dan maju ke depan.
Jawab Tun dengan ringkas “Kembali kepada nilai-nilai murni. Bersih, cekap, amanah, bekerja kuat, tambahkan ilmu dan kukuhkan ekonomi secara halal.”
Nyata apa yang ditegaskan Tun adalah prinsip kehidupan sebenar yang ditunjukkan Islam sebagai 'Addin' untuk umatnya.
Sayang kita sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w terus lalai dan abai menuruti landasan sebenar yang ditunjukkan Islam.
Luntur dan kendur, lalai dan longlai, leka dan alpa, Melayu dan Islam hari ini sudah pudar kuasa.
No comments:
Post a Comment