Wednesday, September 9, 2009

09.09.09

09 September 2009 jika dicatatkan dengan digit terhasillah angka 09.09.09. Ada kalangan mungkin menganggap tarikh hari ini terlalu istimewa kerana digitnya yang unik. Angka tarikh yang berulang hanya setiap satu ratus tahun. Tidak salah jika hanya ingin menggunakan tarikh ini untuk sesuatu peristiwa seperti apa jua majlis penting agar mudah diingati. Tidak juga salah jika ingin menggunakan tarikh ini untuk membuat perubahan positif dalam kehidupan.

Tetapi tentu salah jika dianggap tarikh ini adalah satu tarikh keramat atau tarikh yang bertuah. Bagi saya signifikannya tarikh ini ialah ia jatuh pada hari ke19 bulan Ramadhan Almubarak tahun Hijriah 1430 dan harapnya pengisian Ramadhan tahun ini lebih padat, lebih berisi dan lebih bermakna.

Sembilan belas hari berpuasa membuka banyak ruang untuk melihat kembali, menyuluh diri sendiri sama ada arah yang yang dituju lebih fokus, sama ada harta dan masa anugerah Ilahi dimanfaatkan sebaik-baiknya, sama ada pemburuan hobi terlebih rasa, takut-takut timbul riak dan bangga diri memadamkan matlamat dan perjuangan puasa.

Dalam keseronokan cuti Nuzul Quran dan kegembiraan membeli belah seterusnya berbuka puasa bersama anak-anak di Kuala Lumpur, terasa bagaikan terlalu sedikit yang dicapai sepanjang Ramadhan ini.

Apa jua yang telah dan sedang diusahakan bagaikan setitis air di lautan luas sedangkan Ramadhan hampir berlalu pergi.

Rasa amat takut , cemas dan sayu jika Ramadhan kali ini berlalu jua tanpa sebarang peningkatan sedangkan ruang yang dianugerahkan Ilahi terbentang bebas dan tidak terbatas.

Tiga hari tidak perposting memikirkan apakah puasa kali ini hanya cuma-cuma jua...

Salam

dma

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...