Terletak dalam gugusan Felcra Nasarudin dalam Daerah Perak Tengah, Kampung Suak Padi dan tiga kampung berhampiran didiami oleh hampir 800 orang Masyarakat Orang Asli daripada suku kaum Semai. Bandar Seri Iskandar yang terletak kira-kira 6 Km dari kampung ini adalah bandar terdekat menempatkan Universiti Teknologi Petronas dan Universiti Teknologi Mara serta Sekolah Menengah Agama Sultan Azlan Shah.
Daripada jumlah penduduk seramai 200 orang yang mendiami kampung Suak Padi, mengikut Ustaz Muid, lebih 80 orang menganut agama Islam.
Jam 6.00 petang rombongan kami sampai ke Suak Padi. Alhamdulillah jalan ke kampung sudah berturap cantik memudahkan perjalanan penduduk-penduduk untuk keluar masuk.
Ustaz Muid dan beberapa orang siswa dan siswi Universiti Teknologi Petronas(UTP) telah sedia menunggu di pekarangan surau bersama orang kampung yang sibuk menyediakan juadah untuk berbuka. Seramai 12 orang siswa dan siswi daripada UTP mengadakan program Baktisiswa di kampung Suak Padi.
Kami dimaklumkan rombongan daripada Hospital Pantai Puteri telah tiba seawal jam 4.00 petang. Waktu sampai rombongan hospital telah beredar ke Kampung Gedong Batu, yang berdekatan untuk beberapa aktiviti termasuk mengambil ukuran baju-baju raya untuk kanak-kanak dan menemuduga beberapa orang belia Orang Asli untuk diambil bekerja di hospital. Baju-baju akan diberikan pada 16 September nanti dalam majlis berbuka puasa pada hari tersebut.
Termasuk dalam aktiviti lawatan pihak hospital adalah temuduga untuk pengambila belia wanita sebagai calun pelajar bidang kejururawatan, jika bersesuaian.
Setengah jam berlalu beramah mesra dengan hadirin di surau sambil sama-sama mengatur hidangan, baru rombongan hospital kembali ke surau setelah selesai aktiviti mereka di kampung Gedong Batu.
Rupanya Dr Dilshaad Ali sendiri mengepalai rombongan hospital. Saya amat kagum dengan komitmen seorang CEO yang sanggup turun padang sendiri. Ahli Parlimen Parit, Drs Nizar turut menjengah surau sebelum beredar memenuhi undangan berbuka ditempat lain.
Banyak aktiviti yang dibincangkan dan banyak juga cadangan yang mampu dilaksanakan bersama jika Kelab Keledang, Hospital Pantai Puteri dan siswa/siswi Universiti Petronas bergabung tenaga dan sumber dana.
Saya tertarik dengan program kelas bimbingan atau tuition yang dilaksanakan oleh siswa/siswi UTP. Kental semangat anak-anak muda dan mudi daripada UTP yang hadir dengan belanja sendiri dan berbakti tanpa sebarang imbuhan atau upahan.
Saya cuba membayangkan alangkah baiknya jika Sekolah Kebangsaan Suak Padi dengan 100 orang pelajar daripada keempat kampung, bersebelahan surau dapat dijadikan sekolah angkat.
Saya juga kepingin melihat kemudahan surau dipertingkatkan agar kelas-kelas bimbingan AlQuran untuk anak-anak dan orang dewasa dapat dimantapkan.
Mengikut Ustaz Muid, naskah-naskah Muqaddam (biasa) dan AlQuran serta bahan-bahan bacaan ringan dan tambahan mengenai Agama Islam amat diperlukan. Alangkah bahagianya jika usaha-usaha memartabatkan syiar Islam di kampung ini dapat dipertingkatkan sehingga seluruh penduduk Sauk Padi menjadi penganut Agama Islam yang baik.
Majlis berbuka, solat Maghrib, solat Isya' dan solat sunat Tarawih bersama masyarakat tempatan berjalan lancar.
Walau pun baru berkenalan terasa bagaikan bersama saudara lama dek kemesraan mereka dari masyarakat kaum Semai yang mudah menerima tetamu sebagai saudara. Semoga segala usaha murni daripada semua pihak mendapat keberkatan Allah jua.
No comments:
Post a Comment