Thursday, November 26, 2009

MAJLIS BERTUKAR-TUKAR PANDANGAN DENGAN CEO, IDR

Malam tadi bertempat di Dewan Banquet, Kelab Golf Clear Water Resort, Batu Gajah, jam 9.00 malam, satu majlis ramah mesra dan bertukar pandangan antara Jawatankuasa dan keluarga Kelab Bakti Gunung Keledang dan Ketua Eksekutif, Institut Darul Ridzuan telah berlangsung dalam suasana yang amat harmoni.

Tan Sri Ahmad Azizuddin sekali lagi bermurah hati menjadi hos dan menaja jamuan makan malam. Terima kasih ayahanda.

En Aminuddin Zaki bin Hashim telah diberi kepercayaan oleh Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Zambry Abdul Kadir, mulai Julai lalu untuk menerajui Institut Darul Ridzuan (IDR), agensi pemikir kerajaan negeri Perak.

Tugas utama IDR adalah merangka strategi untuk merangsang pertumbuhan negeri Perak  demi kesejahteraan dan keselesaan rakyat disamping meletakkan nama PERAK di mata dunia.

Walau pun baru melampaui 100 hari dalam tugas, anak muda berusia 39 tahun produk Kolej Sultan Abdul Hamid, Kedah ini, nampaknya berjaya menyediakan satu pelan rangkakerja yang fokus dan tersusun untuk IDR mengatur langkah menjana semula ekonomi Perak yang serabut sejak kemerosotan industri bijih timah pada 80an lalu.

IDR juga berjaya mendapatkan kerjasama ESPN untuk menyiar dan memasarkan program "PERAK AMANJAYA ECO-ADVENTURE" awal Disember depan. Stesen yang mempunyai penonton seramai 1.6 billion penonton diharapkan dapat melonjakkan nama Perak sebagai destinasi pelancong yang gemarkan adventure.

Sememangnya Perak dianugerahkan kekayaan alam semula jadi yang indah dan hasil bumi yang kaya. Tapi malang, dasar polisi yang celaru, pelaksanaan yang tidak tersusun dan kerenah birokrasi, manfaat yang di perolihi kerajaan negeri tidak seberapa dan hasil negeri tidak melimpah rata dan seimbang kepada rakyat.

Barangkali soal sikap, aturan kerja yang tidak sepadu, kelalaian agensi pelaksana dan ketidak sungguhan pemimpin-pemimpin yang terpilih juga antara sebab-sebab Perak tercorot dalam arus pembangunan. 

Namun, saya kira ramai hadirin yang terpegun dengan kesungguhan anak muda ini, menaruh harapan tinggi kepada IDR dan CEOnya untuk membawa Perak ke aras yang lebih maju melalui PELAN PERAK AMANJAYA yang dibentangkan semalam.

Para hadirin juga berasa lega bila dimaklumkan IDR juga sedang meneliti prestasi syarikat-syarikat kerajaan negeri. Memang patut pun agensi negeri dan state GLCs disusun semula supaya para pelabur boleh mendapatkan sedikit pulangan dari pelabuhan yang dibeli dengan harga yang mahal. Macam kata Sdr Hj Zamin, masa beli saham Majuperak dulu, rege sesaham RM0.70 tetapi kini tinggal dua kupang. Udah tu dividend untuk saham biasa sejak listing satu sen pun tak nampak bayang.

Pokok pangkal sesuatu kejayaan adalah kemampuan, komitmen dan keikhlasan agensi pelaksana dan kakitangan agensi dan jabatan kerajaan negeri untuk melaksanakan tugas dengan amanah, jujur dan cekap.

Cakap-cakap diluar masih kedengaran tentang sistem yang wujud kini di sebahagian besar jabatan dan agensi kerajaan hanya berjalan jika disalurkan ‘minyak pelincir’.

Tentunya yang penting kini adalah iltizam semua pihak untuk memikul tanggungjawab dan amanah untuk menggerakkan apa jua pelan yang dirancang untuk RAKYAT.

Tak guna IDR mempunyai pelan hebat dan Zambry menjerit kuat jika sistem pelaksanaan masih tercicir ditakuk lama dan berkarat.

Jangan lagi hendaknya ada rakyat seperti golongan Orang Asli yang terpinggir dari arus kemajuan kerana ada ketirisan di peringkat pelaksanaan.

Seperti kata sahabat saya, Pak Sako (Dato Ishak Haji Mohamad) malam tadi, pelan yang hebat tidak menjanjikan apa-apa jika tiada keikhlasan dalam pelaksanaan.

3 comments:

Anonymous said...

salam tuan,

mohon untuk bertanya, dimanakah pejabat IDR ini?

aukauk88.

Limau tambun said...

Sdr Aukauk88,

Assalamualaikum,

Pejabat IDR di Tingkat 16, Bangunan PTTC, Meru Raya, Jelapang, Ipoh.

Senang mencari bangunan ini. Bangunan yang tersergam berhampiran PLAZA tol Jelapang. Memang tak boleh miss sebab daripada PLUS Highway dah boleh nampak.
Selamat berkunjung ke sana...

Anonymous said...

salam tuan,

terima kasih diatas info diatas. semoga kita semua dapat bekerjasama untuk memajukan dan mensejahterakan negeri kita ini. insyallah. have a nice day!

aukauk88.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...