Monday, November 30, 2009

MENUNAIKAN IBADAH QURBAN OLEH KELAB BAKTI GUNUNG KELEDANG

Bertempat di rumah Sdr Haji Mustapha Mohamad(Chubby) di Taman Manorama, Fair Park, Ipoh, ahli-ahli Kelab Keledang telah menunaikan ibadah qurban pada hari Sabtu, hari raya kedua lalu. Seawal jam 7.00 pagi, ahli-ahli dan keluarga telah mula berkumpul di rumah beliau di pinggir Sungai Kinta, tempat bangau acap berterbangan.

Selepas sarapan pagi, Ustaz Suffian daripada JAKIM memulakan acara pagi dengan tazkirah ringkas untuk ahli-ahli dan keluarga serta sahabat handai mengenai fadhilat qurban.

Sebanyak 3 ekor lembu yang ditempah khas dari Ladang Gopeng dijangka tiba jam 7.00 pagi untuk sembelihan jam 8.00 pagi.

Sarapan sudah, tazkirah pun sudah tapi lembu-lembu tak juga kelihatan. Tukang-tukang sembilih dah naik resah maklumlah ada diantaranya yang mempunyai tugas sembelihan di tempat lain. Setiap panggilan yang dibuat kepada taukeh lembu di sambut dengan ayat sama," On the way, on the way."

Panas pagi mula terasa. Alhamdulillah jam 9.05 pagi, lori membawa lembu tiba. Lega teramat bila bayang lori dan lembu memhampiri tempat penyembelihan. Maklumlah dah menunggu agak lama.

Proses sembelihan agak lancar. Daging-daging dapat diagihkan kepada yang berhak pada jam 12.00 tengahari.

Daging-daging daripada lembu qurban Dato' Lat diagih-agihkan kepada penduduk-penduduk Islam di perkampungan Orang Asli Daerah Tapah, Daerah Kinta dan Daerah Parit termasuk Kampong Suak Padi dan Gelong Batu.

Daging-daging daripada dua ekor lembu qurban Sdr Razali Khalid dan ahli-ahli lain di agihkan kepada Rumah-rumah Anak Yatim Bait Al-amin, Darus Salam dan Budi Mulia, Daerah Kinta serta ibu-ibu tunggal dan pihak-pihak yang berhak.

Syukur ramai ahli yang hadir memberi sokongan tenaga dan sokongan moral. Turut serta anak-anak kecil yang tidak ketinggalan dengan telatah masing-masing.

Sicilik Aulya, anak Sdr Presiden dan Adik Firdaus, anak Sdr Razali Khalid turut membantu mengagihkan air mineral kepada petugas-petugas.

Satu program yang berjaya dilaksanakan oleh ahli-ahli sendiri dengan bantuan rakan-rakan. Biasanya ahli-ahli melakukan qurban dengan menyerahkan lembu kepada masjid atau surau untuk dilaksanakan.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada tuan rumah,Sdr Haji Mustapha, Kak Ani dan keluarga, semua ahli kelab yang melaksanakan qurban, ahli yang berkorban masa dan tenaga untuk hadir, petugas-petugas JAKIM dan wakil-wakil daripada masyarakat Orang Asli.

Semoga program sebegini dapat diteruskan lagi di tahun-tahun hadapan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...