Sunday, November 1, 2009

ILMU BERSEPAH DAN MURAH DI MERATA JALAN...

Jika berada di Ipoh dan tiada tetamu di rumah atau tidak ke kebun pada pagi Ahad, Pasar Karat Ipoh lah menjadi tempat kunjungan. Suka mengamati pelbagai gelagat manusia dan minat perhati barang-barang yang boleh dikitar guna semula. Barangan yang mungkin bagi sesetengah orang sudah tak berguna tapi bagi sebahagian manusia lain, barangan sedemikian masih bermanfaat dan bernilai tinggi.

Jam lama, duit lama, barangan tembaga lama, radio lama, seterika lama, itu semua memang perkara biasa menjadi buruan para kolektor.

Tapi yang menarik perhatian saya, ialah buku-buku dan majalah-majalah lama yang dijual begitu murah.

Di Pasar Karat Ipoh atau Memory Lane, lima enam orang peniaga lelaki dan wanita mencari rezeki menjual pelbagai buku dan majalah lama. Majalah-majalah lama seperti 'The National Geographic' boleh dibeli RM1 senaskah.

Begitu juga novel-novel lama M&B, Danielle Steel, John Grisham, Robin Cook dan Anne Rice boleh diperolehi dengan harga antara RM1 hingga RM2 senaskah. Malah hasil karya sasterawan agung seperti Sir Arthur Conan Doyle pun boleh diperolihi dengan harga RM2 senaskah. Semua naskah yang dijual berkeadaan sempurna, ada yang dibalut kemas dengan salutan plastik.

Gembira melihat ada ibubapa yang sudi membawa anak-anak mengunjungi gerai buku sebegini. Begitu mudah dan murah bahan-bahan tersedia untuk memupuk anak-anak tabiat membaca.

Hairan juga kenapa ramai rakyat Malaysia dilaporkan kurang membaca sedangkan bahan membaca bersepah atas jalan, mudah dan murah.

Masih tertanya apakah jenis formula terbaik menggalakkan manusia Malaysia membaca...

Teringat kisah Tan Sri Sanusi Junid, bekas Menteri Besar Kedah, dengan Projek Kampung Buku di Langkawi. TS Sanusi, antara insan yang saya kenali yang kuat membaca dan pandai banyak bahasa.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...