Sunday, August 9, 2009

BERSIH, HIJAU DAN MEMBANGUN...ILTIZAM DATO’ BANDAR IPOH

Malam Sabtu lalu mulai jam 8.40 bertempat di Clearwater Golf Resort berlangsung satu majlis dialog antara Kelab  Bakti Gunung Keledang dengan Dato’ Hj Roshidi bin Hj Hashim, Dato’ Bandar Ipoh.

Majlis yang dihoskan oleh Yg Bhg Tan Sri Ahmad Azizuddin , Ahli Bakti Cemerlang Keledang, bertujuan mengeratkan silaturrahim antara ahli-ahli kelab dengan Dato’ Bandar Ipoh serta pegawai-pegawai Majlis Bandaraya Ipoh.

Inilah kali pertama seorang Dato’ Bandar Ipoh bersedia bersemuka dengan Kelab Keledang untuk berbincang mengenai pembangunan dan penceriaan bandaraya Ipoh yang dicintai.

Majlis berlangsung dalam suasana harmoni, mesra dan santun kerana Dato’ Roshidi memang mengenali sebahagian besar daripada ahli-ahli kelab.

 Masyarakat Melayu kat Ipoh pun bukanlah besar sangat pun.

Dalam ucapan mukadimahnya, Dato’ Bandar memaklumkan bahawa beliau memilih ‘Bersih, Hijau dan Membangun’ sebagai pendekatan gerak kerja yang diutamakan untuk memantapkan Bandaraya Ipoh.

Bersih dari segi mental, fizikal dan spiritual untuk kakitangan wargakota dan pengunjung.

Seketika dulu katanya Bandaraya Ipoh memang terkenal sebagai bandaraya bersih tapi kini banyak yang perlu dilaksanakan untuk mengembalikan tahap kebersihan itu.

Pendekatan hijau, katanya merujuk kepada impiannya untuk menjadikan Ipoh sebagai sebuah bandaraya taman yang penuh dengan kehijauan.

 Merujuk kepada kata-katanya “Ipoh hari ni nampak dogiang kerana terlalu banyak hard landskap”

Pendekatan membangun bermaksud menaiktaraf sistem infrastruktur jalan dan saliran, sistem pengangkutan kota, menambah dan meluaskan  ruang niaga khususnya untuk golongan Bumiputra, menambah bilangan rumah yang berkualiti dan selesa di pusat Bandaraya.

Pendekatan Dato’ Bandar memang seiring dengan pemerhatian kelab.

Maka itu pihak Kelab Keledang telah menampilkan beberapa cadangan konsep untuk pembangunan semula kampung Melayu di Ipoh.

Konsep cadangan pembangunan Ipoh Sentral serta Kota Warisan di Kampung Kuchai  akan menempatkan Galeri Dato’ Lat dan tapak niaga yang lebih luas untuk peniaga-peniaga Bumiputra termasuk dari  Memori Lane, Gerbang Malam, Open Terrace.

Sampai bila peniaga-peniaga Bumiputra nak berniaga  secara meletak barangan atas tong atau tikar berbumbungkan payung pasar malam?

Setiap kali berkunjung ke tempat-tempat tersebut, terkenangkan betapa indah dan seronoknya kalau kawan-kawan seperti Zul Putera, Haizul, Ku Ahmad, Aziz dan lain-lain dapat berniaga dalam keadaan yang lebih sempurna mempamerkan banyak barangan mereka dan tidak terdedah pada panas dan hujan.

Kompleks ibadah, riadah & muamalat di kawasan Masjid Tambun juga dikemukakan sebagai ‘pilot project’ untuk pembangunan semula semua kawasan masjid di Bandaraya Ipoh.

Semua cadangan telah dikemukakan seminggu sebelum tarikh dialog.

Respons yang baik dan positif daripada Dato’ Bandar mengenai semua cadangan menjadikan majlis malam itu begitu bermakna dan berbaloi sekali.

Namun banyak rintangan seperti isu tanah dan kerenah politik perlu dilepasi untuk melaksanakan cadangan projek-projek besar sebegini.

Di akhir sesi, Dato’Bandar juga bersetuju dengan cadangan Kelab Keledang untuk menghijaukan jalan utama di Greentown dengan kos ditanggung kelab sebagai sumbangan kecil menyokong dan mendokong usaha beliau menrealisasikan konsep bersih dan hijau untuk Ipoh.

Sekalong budi dan tahniah kepada Tan Sri yang bertindak sebagai penyuluh jalan dan mentor kelab.

Terima kasih Dato’ untuk satu sesi yang bermakna...

Kami menanti saat-saat implemetasi.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...