Tuesday, August 18, 2009

JANGAN BIARKAN OPAH KESEPIAN...

Malam ini adalah malam terakhir Darwani, pembantu Opah menemani Opah. Esok Darwani akan pulang ke kampungnya jauh di Desa Cot Saluet, Kabupaten Bireun,Wilayah Aceh Utara, Indonesia. 

Dua tahun Darwani menemani Opah, mengemas rumah dan kawasan rumah Opah , menjaga makan minum Opah, membasuh pakaian dan memastikan Opah sentiasa  kemas dan rapi.

Opah tidak sekuat dulu sejak terjatuh dalam kamar mandi empat tahun lalu. Opah yang kini berusia 76 tahun tidak segagah ketika zaman mudanya tapi Opah tidak pernah bersungut. Dia tetap menerima hari-hari mendatang seperti biasa.

Opah suka membaca dan membaca. Dia suka tinggal di rumahnya sendiri di kampung.

Ayah berusaha menemukan Opah dengan seorang doktor pakar di hospital Pantai Ipoh, rakan ayah, untuk pembedahan. Malangnya Opah tidak pulih sepenuhnya selepas pembedahan lalu bergantung kepada kerusi roda sejak itu.

Ayah dan Ibu tidak pernah putus asa memastikan Opah mendapat khidmat perubatan terbaik. Setiap dua bulan Ayah akan menjemput Opah dari kampung, tinggal seminggu dua di Ipoh untuk diperiksa kesihatan oleh doktor-doktor pakar dan mendapat ubat yang sesuai. Ayah,walau pun hanya seorang menantu, tetap memberi perhatian kepada Opah seperti ibunya sendiri.

Sejak musibah menimpa, Opah banyak bergantung kepada pembantu dari Indonesia yang digaji Ayah.

Esok Darwani akan pulang ke kampung halamannya untuk meneruskan kehidupan di desa kelahirannya.  Pernah ditanya Ayah, kenapa tidak pujuk saja Darwani untuk tinggal terus menjaga Opah. Kata ayah, Darwani juga punya hak untuk hidup disamping keluarga dan membina keluarga sendiri.

Esok Darwani akan pulang. Kabarnya, belum ada pengganti.

 Kini giliran anak-anak Opah yang lagi berempat untuk mencari pengganti pembantu.

Kata Ayah, setakat ini dia tidak mendapat kabar berita tentang siapa yang akan menjaga Opah.

Ayah dan Ibu pasti resah. Harap ayah tidak mengambil tindakan drastik cari sendiri seorang pembantu sebagai pengganti. Tapi lagi seronok jika Opah sudi tinggal saja di Ipoh.

Entahlah...harap nanti jangan ada yang tersinggung hati jika ayah bertindak sendiri.

Janganlah hendaknya  Ramadhan kali ini Opah dibiar kesepian...

 

Catatan: Muzillmansor

 

 

3 comments:

JACK' TREASURE CHEST said...

Tuan sangat bertuahnya masih mendapat belai kasih opah dan dapat menunaikan tanggungjawab buat opah tercinta. Saya tak dapat belai kasih ibubapa, atok, opah sejak dari kecil. Duduk ngan saudara dan asrama aje. Berbaktilah selagi yang kita kasihi masih bersama kita. Saat-saat itu sangat berharga dan berkualiti buat opah dan orang-orang yang menyayanginya.

Jay muzill said...

Sebenarnya kita semua adalah bertuah kerana masih mempunyai orang-orang yang menyayangi diri kita.

Itulah sebenarnya anugerah Allah...

warikh said...

Aku punya mak yang berusia 81 tahun. Masih cekap mengingati anak,cucu dan cicitnya yang berpuluh orang. Sedangkan mereka kadang 'terlupa' padanya yang hanya sorang.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...