Saturday, December 19, 2009

MALAM PEMASYHURAN PRESIDEN KELAB BAKTI GUNUNG KELEDANG 2010

Baru sehari dua kita melangkah ke tahun Hijriah 1431 sementara tahun Masihi 2009 masih berbaki 12 hari.

Kelab Bakti Gunung Keledang sekali lagi berdepan dengan tugas berat memilih presiden baru menerajui kelab untuk tahun baru.

Alhamdulillah tahun ini pemilihan presiden berjalan lancar. Ramai ahli sudi tampil ke depan menerima tanggungjawab dan amanah. Barisan pimpinan diatur cantik dengan kebijaksanaan dan nasihat daripada 'Council of Elders'.

Barisan kepimpinan kelab bagi tahun 2010 akan diketuai oleh Sdr Dr Hj Zakaria Abdul Kadir selaku Presiden dan Sdr Razali Khalid selaku naib Presiden. Barisan ahli jawatankuasa terdiri dari Sdr Dato' Ishak Haji Mohamad, Sdr Dato' Azmi Othman, Sdr Hj Mustapha Mohamad, Sdr Megat Shaarani, Sdr Muzill Dato' Mansor, Sdr Dr Murshid dan Sdr Ir Khairul Anwar Dato' Masud selaku bekas presiden terakhir.

Sdr Dr Zakaria, 48 tahun, adalah seorang pakar neurologist yang tersohor, Hospital Pakar Ipoh, Perak. Beliau bukan saja pakar di bidang perubatan malah tinggi ilmu agamanya hingga layak diangkat sebagai salah seorang imam di surau Taman Golf, kawasan kediaman beliau. Isterinya, Puan Hanita Mohd Anas adalah graduan Actuarial Science.


Inilah antara kekuatan sebenar Kelab Bakti Gunung Keledang. Walau pun keahlian kelab kini cuma 72 orang professional tetapi para isteri dan anak-anak yang terdiri daripada kalangan professional juga komited membantu menjayakan kerja-kerja amal dan kemasyarakatan atas nama Islam.

Kelab Keledang yang telah bertahan dan terus berkembang selama 33 tahun mempunyai ahli kelab seusia emas 87 tahun hingga yang terbaru dan termuda seusia 27 tahun melangkaui 4 generasi semuanya juga komited bergerak bagaikan satu keluarga besar mencari ruang menabur amal bakti kepada masyarakat dengan dana sendiri, tak pernah menagih bantuan daripada mana-mana pihak.

Malam tadi, bertempat di Hotel Impiana, Ipoh berlangsunglah Istiadat Pemasyhuran Presiden dan majlis makan malam serta hiburan disaksikan oleh DYTM Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah selaku Patron kelab dan Raja Puan Muda, Raja Zara Salim.

Majlis malam tadi turut mencatat satu sejarah baru apabila dilaksanakan sempena menyambut Maal Hijriah. Sesuai sangat dengan komitmen Presiden baru untuk memperbanyakkan aktiviti dakwah Islamiah.

Tahniah kepada Sdr Ir Khairul Anwar yang amat berjaya menjalankan tugas sebagai Presiden Kelab bagi tahun 2009. Syukur kerana Allah swt telah memberikan kekuatan kepada beliau dan Dr Sharina, isterinya serta keluarga hingga mampu melaksanakan begitu banyak aktiviti meliputi semua kaum pada tahun 2009.

Tahniah kepada Dr Zakaria dan barisan AJKnya yang sudi menerima amanah dan tanggungjawab untuk memimpin kelab bagi tahun 2010.

Sekalung penghargaan kepada Keledang Ladies dan Keledang Kids yang sekali lagi berjaya membuat persembahan yang mempesonakan semua tetamu termasuk Tetamu Diraja malam tadi.


Difahamkan Tuanku berdua amat berpuas hati dengan acara-acara yang dipersembahkan.


Sememangnya Tuanku Raja Muda tidak pernah gagal menghadiri majlis pemasyhuran presiden sejak kelab ditubuhkan. Begitulah tingginya komitmen baginda terhadap Kelab Bakti Gunung Keledang, satu-satunya kelab professional Melayu Perak yang berjuang untuk program amal bakti dan kemasyarakatan dan berjaya menghasilkan ramai pemimpin politik termasuk 2 orang menteri besar Perak, 2 orang Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, timbalan menteri, setiausaha politik, pemimpin koperat dan pemimpin masyarakat di negeri Perak.

Tuanku berdua kelihatan meluangkan masa beramah mesra dengan Keledang kids sebelum berangkat.

Tuanku sempat juga memberi pesanan kepada Presiden baru, Sdr. Dr. Zakaria sebelum beredar meninggal seribu kenangan buat kami warga Keledang. 

SYABAS SEMUA tapi jangan lupa tugas tahun depan banyak menanti weh!

2 comments:

JACK' TREASURE CHEST said...

Tahniah Sdr Muzill kerana dilantik dlm barisan AJK Kelab Bakti Gunung Keledang 2010. Ikut jejak langkah Y.Bhg Dato' aktif dalam NGO untuk berbakti kpd masyarakat, ugama dan bangsa. Selempang yg dipakai tu kira dah dpt title Dato' ke? Tengah kumpul pakaian lama, baru stok lama dan baru masih dlm plastik untuk disedeqahkan kpd kelab bakti. Bila dah siap, sy poskan kat tuan k!

Muzill said...

Tuan Syed,

Terima kasih. Selempang yang dipakai adalah tanda jawatan sebagai Tok Pengelola majlis.

Kalau ada stok baju-baju terpakai yang boleh disumbangkan kepada masyarakat orang asli, boleh saja saya collect by hand bila kebetulan datang K.L .

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...