Monday, July 6, 2009

28-27-2

Misi memburu jam-jam lama hampir-hampir mencapai sasaran. 

Kata Muzill, jam-jam vintage yang telah dibeli hampir benar mencapai unjuran dalam jangka waktu yang disasarkan sehingga Ogos 09. Saya biarkan dia menentukan apa yang perlu dibeli kerana dia yang menyimpan rekod dan rajin membelek blog. Dia juga yang mencipta formula di atas sebagai sasaran. Pertengahan bulan Ogos 09 baru katanya boleh bagi tahu maksud sepenuh. Kenapa dipilih 28, apa signifikannya 27 dan kenapa dirangkaikan dengan dengan 2, perinciannya hanya dia tahu.

Pemburuan kami merentasi ruang masa, tempat digital dan fizikal. Alhamdulillah,bertemu ramai rakan-rakan di alam siber dan alam nyata yang punya minat sama, berkongsi ilmu dan pendapat. Dari Ipoh menjelajah hingga ke Sarawak, Negri Sembilan, Kuala Lumpur, transit di Bidor, terlangsung di Manjung, singgah di Parit Buntar, lajak ke Alor Setar, jam-jam lama dipilih mengikut keadaan tawaran dan kesempatan.

Banyak juga jenama Swiss yang terkumpul tapi terselit dua tiga buatan Jepun. Ada yang dapat di beli dengan harga murah, ada yang di beli dengan harga agak tinggi. Ada jenama popular, ada jenama yang kami tak pernah dengar sebelum ini, ada jenama yang minat tapi belum dapat.

Kami tak kisah tentang apa harga dan apa kondisi. Yang penting salam perkenalan dan persahabatan terjalin kini. Yang paling seronok, bila beli dapat lagi jam free. Sukalah hati, kita bukan mintak ,kawan nak bagi, terima dan bersyukurlah...

Ada yang bertali kulit, ada yang bertali besi. Kami tukar ganti ikut gerak hati, sedap mata dan cita rasa. Ada yang kami bagi pada saudara mara dan kawan bila dia orang tengok terus berkenan.

Ada juga rakan-rakan yang merisik kalau-kalau minat nak jual tapi setakat ini kami lebih minat membeli. Tapi mana tau, kut-kut lepas Ogos nanti berubah angin, nak berjual lebih dari membeli. Tengoklah nanti.

Maklumlah saudagar-saudagar jam lama yang ternama pun dah branch out retail barang baru. Mungkin ada ruang nak mencelah.

Jam lama pun jam lama jugak, jam baru pun kena cari. Kalau tidak takut ketinggalan perkembangan dan kemajuan dunia jam.

Minat pada jam amat seronok dan leka kerana dapat lari dari suasana keharuan politik yang kadangkala buat kita jadi getik. Minat pada jam memberi kesedaran tentang sedikit kehebatan manusia mengukur perjalanan masa ketentuan Ilahi selama 24 jam sehari. Kalaulah tiada pengukur waktu seperti jam...

Pemburuan jam-jam lama juga menyedarkan kami betapa dalam kecanggihan barang moden ciptaan terbaru, barang lama tetap ada nilai, berharga dan bermutu. Masih segar menjadi idaman dan diberi penghormatan seperti mana kita tetap menghargai jasa orang-orang tua dan orang-orang yang terdahulu daripada kita. Yang baru mengangkat teknologi, yang lama sebagai penyeri.

Jam-jam lama zahir dalam pelbagai jenama, bentuk dan rupa. Ada yang masih jelita kerana rapi di belai dan dijaga tapi banyaknya lusuh dimamah masa.

Antara peminat dan pengumpul jam lama, ada yang lebih suka dengan keadaan seadanya, ada pulak yang berminat melakukan cubaan pemulihan. Yang penting, jam yang dibeli, perlu dihargai dan disimpan selamat.

Jagalah dengan baik dan cermat, maklumlah barang lama sukar nak dapat. Kalau dah pergi bukan boleh diganti lagi.

7 comments:

Anonymous said...

Betul tu Limautambun, kebelakangan ni nak dapat jam cantik yang sesuai dengan harganya dah payah... ramai yang memburu dan harga pun mesti melonjak... saya pun dah kering jam dan mula nak jual koleksi syiling dan sampul hari pertama. Nak simpan patut2 sudahlah... tak larat nak menjaganya...

Amirul said...

Gambar kedua tu kat mana? dapat stok dari situ ke? bila nak mula jual jam?

Limau tambun said...

Sdr Jam Koleksi, semoga berjaya sebagai saudagar syiling dan fdc.

Sdr Amirul,
1.gambar kedua tu kat market street, ipoh tempat saya repair jam.
2.Stok dari merata tempat.
3. Tunggu...

havana said...

salam..

pendapat ni aku setuju sgt2 "..Minat pada jam memberi kesedaran tentang sedikit kehebatan manusia mengukur perjalanan masa ketentuan Ilahi selama 24 jam sehari.."

lebih teserlah lagi kekaguman aku bila jam2 lama ni mempunyai pelbagai jenis.. ada yg chronometer, chronostop, stop watch, leh bawa g nyelam, moonphase, triple date dsb.. bayangkan pada tahun-tahun 1800 an & 1900an.. dah ada benda2 ni semua.. fuhh.. jauh advance pemikiran watch maker nih!. tu yg membuatkan jam2 lama ni istimewa bagi aku.

warikh said...

Mengumpul dan membelek jam-jam lama saya akui memang dapat meredakan tekanan. Perjalanan ke tempat menjual jam lama juga sungguh mengujakan walaupun jauh dan penat. Saya kerap melarikan diri dari urusan perniagaan dengan 'memburu' jam-jam lama. tetapi saya bukanlah 'collector yang setia'. Saya lebih suka dengan cara 'catch & release. Kepuasan jam dapat di tangan & merekodnya bagi saya tiada nilainya. Wang bukan soalnya di sini.

Limau tambun said...
This comment has been removed by the author.
Limau tambun said...

Sdr Warikh,

Jika mengumpul jam lama merupakan satu terapi,teruskanlah.Yang penting dapat ketenangan...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...