Lawatan ini adalah kunjungan balas setelah serombongan pelajar dan guru Sekolah Kebangsaan Laneh melawat Sekolah Antarabangsa, Ipoh pada bulan Mei lalu.
Program hari ini adalah anjuran Sekolah Kebangsaan Laneh dengan tajaan dari Kelab Bakti Gunung Keledang.
Pelbagai program disusun termasuk penyertaan dalam permainan rakyat seperti congkak dan batu seremban, masak lemang dan lawatan ke kampung.
Menurut salah seorang guru dari sekolah antarabangsa, pelajar yang menyertai pertandingan permainan tradisional dilatih sebelum ke Sekolah Laneh. Seronok sungguh melihat anak orang putih begitu mahir bermain congkak. Terdetik di hati, 'Pandai lagi ke aku bermain congkak?.
Presiden dan ahli Kelab Bakti serta ahli Jawatankuasa PIBG kedua buah sekolah turut hadir memeriahkan majlis sambil menjamu selera dan menjamah hidangan buah-buahan tempatan.
Sempena musim buah-buahan sekarang, pelajar-pelajar antarabangsa juga dihidangkan dengan durian, rambutan, langsat dan pulasan. Kagum melihat mereka begitu mengemari buah-buahan tempatan. Habis pokok-pokok buah-buahan orang kampung diserbu mereka.
Kesempatan pertukaran lawatan juga digunakan untuk melatih pelajar-pelajar kedua-dua sekolah berinteraksi menggunakan bahasa Inggeris. Anak-anak dari sekolah antarabangsa tidak segan silu bertegur sapa dengan anak-anak dari Sekolah Laneh. Adakalanya anak-anak Sekolah Laneh tidak memahami soalan-soalan yang ditanya mereka dalam bahasa Inggeris, tapi nampak kesungguhan mereka untuk cuba berinteraksi. Bukan selalu anak-anak kampung dapat peluang sebegini.
Acara menyediakan lemang menarik perhatian pelajar-pelajar antarabangsa.
Bukan selalu juga anak-anak dari pelbagai bangsa dari luar negara dapat masuk desa dan menikmati suasana dan menjamah makanan kampung.
Selesai melawat kampung, sesi melukis bersama Dato' Lat mendapat sambutan hangat daripada pelajar-pelajar dan para tetamu serta ibubapa.
Semoga program sebegini dapat menjalin silaturrahim antara pelajar tempatan dan antarabangsa , membuka ruang pelajar pelbagai bangsa dari luar negara memahami suasana desa sambil meningkat keupayaan pelajar tempatan berbahasa inggeris dan mendapat sahabat-sahabat baru.
Article dan posting oleh: Fatin Liyana Mansor
No comments:
Post a Comment