Wednesday, July 15, 2009

SATU ANUGERAH ...

Malam tadi bertempat di Dewan Canselor, Universiti Teknologi Petronas, Tronoh berlangsunglah majlis Tilawah AlQuran peringkat kebangsaan.

Perak terpilih menjadi tuan rumah bagi majlis tilawah kali ke 52 ini bertemakan 'Wahdah Pemangkin Khaira Ummah'.

Acara yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyuddin Yassin berjalan lancar, ringkas dan padat disaksikan ramai pengunjung jauh dan dekat.

Hadir sebagai memenuhi jemputan daripada Kerajaan Negeri.

Tersentuh hati dengan kehebatan bacaan dari tiga pembaca jemputan, Sdr Zakaria, Sdr Othman Alhafiz dan Sdr Mohd Lee Abdullah  daripada Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia(PERTIS). Mungkin mereka cacat penglihatan tapi hati mereka dikurniakan Allah Ta’ala, jelas dan terang hingga mampu menghafal AlQuran.

Syahdu dan hebat sekali bacaan bertarannum Sdr Mohamad bin Ahmad Zaid, 14 tahun, johan Hafazan AlQuran Peringkat Kebangsaan (juzuk 1 hingga 30). Bacaannya dari ayat 103 Surat Al-Imran yang menyeru kepada perpaduan ummah menghiris kalbu. Hiba dan sayu dengan percakaran dan perpecahan ummah Islam kini yang macam tiada titik penyelesaian.  

Kita yang celek penglihatan dan berumur di ambang senja bukan saja tidak mampu menghafal walau satu juzuk pun tapi lagi sedih, buta memahami ajaran Al-Quran termasuk tentang perpaduan sesama insan.

 Majlis tamat jam 11.15 malam dengan seribu kenangan dan persoalan di benak kepala. Apakah aku antara insan yang juga terlalu alpa dengan anugerah Yang Maha Kuasa?

1 comment:

JACK' TREASURE CHEST said...

"Sesungguhnya Allah Dia lah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dia lah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya" Surah Adz-DZaariyaat ayat 58.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...