Monday, July 27, 2009

SEPETANG DI KAMPUNG MAKMUR, ULU KINTA

Satu lawatan muhibbah ke Kampung Makmur, Ulu Kinta, Perak terlaksana hari Sabtu lalu, susulan dari dialog antara beberapa jabatan yang berkaitan kebajikan masyarakat Orang Asli dengan Jawatankuasa Kelab Bakti Gunung Keledang.

Bertemankan Ustaz Moid yang telah lama berdampingan masyarakat Orang Asli dengan aktiviti kemasyarakatannya, Sdr Syed Zulkarnain Wafa selaku ketua biro kebajikan Kelab Keledang, Sdr Harith dari urusetia kelab dan saya mewakili ayah yang tidak dapat turut serta, kami serombongan mengatur perjalanan. 

Adat melawat mesti membawa sedikit buah tangan.

Berbekal ole-ole berupa 21 kg gula, kopi dan biskut, perjalanan dimulakan dari Maktab Perguruan Ulu Kinta, sampai di kaki bukit sudah pun kelihatan empat lima pemuda Asli sedia menunggu di sebuah gerai. Mereka melambai tangan ketika perasan kehadiran Ustaz. 

Ustaz Moid berkata untuk ke Kampung Makmur yang meliputi 90 buah rumah, memanglah hanya kurang lebih 3 km tapi jalannya berlurah, tidak rata dan tidak berturap. Kalau cuaca elok dan jalan kering, perjalanan hanya mengambil masa 30 minit untuk sampai. 

Kalau hujan, pacuan empat roda pun sukar naik sebab jalan licin. Lebih baik berjalan kaki. Itu pun mungkin 3 jam perjalanan kalau tak pancit.

Ustaz Moid juga menceritakan satu pengalaman lalu ke Kampung Makmur,  dengan memandu sebuah pacuan empat roda usang milik agensi kerajaan dan terjatuh dalam gaung ketika hujan. Di dasar gaung, menyedari dia hanya luka kecil terus berjalan kaki menyambung perjalanan. 

Banyak lagi rintangan yang ditempuhinya , namun Ustaz Moid, masih aktif mencurah amal bakti membantu masyarakat Orang Asli yang dahagakan sokongan dan bimbingan.

Sampai di satu sektor jalan yang amat curam, pacuan empat roda yang saya pandu seolah-olah tidak boleh bergerak lagi. Roda berputar tapi kereta tidak berganjak. Tarik handbrake lepas brek, kereta menurun walaupun gear untuk empat roda telah digunakan. 

Terasa bagaikan kereta hendak menggelongsor ke belakang, minyak ditekan sehabis-habisnya, barulah kereta bergerak sedikit. Ustaz Moid kata inilah antara trek paling mencabar dan laluan di hadapan lagi mencabar. Saya mula jadi cemas.

Sampai di tempat yang agak mendatar, kereta dihentikan dan saya pelawa Ustaz Moid mengambil alih sebagai pemandu memandangkan beliau lebih mahir dan arif selok belok jalan itu. Ustaz menerima pelawaan dengan senyum.

Sampai di Kampung Makmur  hati terasa lega dan syukur.

Suasana kampung damai dan tenang dengan sebuah sungai mengalir laju di belakang kampung.

Kedatangan kami di sambut mesra oleh Tok Batin. Anak-anak kecil Asli yang berebut-rebut hendak menyambut buah tangan yang kami bawa dan bersalaman  dengan kami.

Sayang sekali, saya lupa pulak nak bawa gula-gula atau coklat untuk anak-anak Asli yang begitu ramah dengan kami.

Adat di Kampung Makmur, tetamu dijamu di rumah Tok Batin dulu sebelum perbincangan. Ubi kayu goreng, pucuk ubi, sambal ikan bilis dengan belacan serta biskut Marie menjadi santapan utama petang itu.

Walau pun mereka ceria menyambut tetamu, anak-anak riang tapi jelas  kelihatan terlalu sikit nikmat kemerdekaan singgah di kampung ini.

Ustaz Moid berkata tiada guru agama yang diletakkan tetap di Kampung Makmur dan di  lima buah kampung berdekatan walaupun masyarakat di situ 90% beragama Islam.

 Alangkah baiknya jika Kelab Bakti Gunung Keledang dapat membantu menyediakan seorang ustaz tinggal tetap di Kampung Makmur untuk mengajar masyarakat setempat dan lima kampung yang berdekatan mendalami ilmu Agama Islam dan latihan amali.

Tok Batin ada menyatakan jambatan menghubungkan kampungnya ke Kampung Tonggang di mana terletaknya sekolah telah roboh memaksa jarak perjalanan hampir 13 km yang lebih jauh untuk ke sekolah. Cantik sekali jika jambatan dapat dibaiki segera.

Walau pun kemudahan dewan, surau dan gelanggang sepak takraw telah ada, masih banyak kemudahan seperti tandas awam perlu disediakan kerana Kampung Makmur adalah laluan utama ke Gunung Korbu dan aktiviti trekking serta mountain biking.

Menurut Ustaz Moid lagi, Kampung Makmur sesuai dijadikan kampung angkat Kelab Bakti Gunung Keledang untuk aktiviti kemasyarakat kelab memandangkan jaraknya hanyalah 20 km sahaja dari Bandaraya Ipoh. 

Sesungguhnya pengalaman pertama, sepetang bersama masyarakat Orang Asli banyak memberi kesedaran tentang tanggungjawab saya untuk membantu masyarakat yang dahagakan nikmat merdeka termasuk masyarakat Orang Asli.

catatan: muzill mansor

Foto:harith idris                                                                                                                        

2 comments:

JACK' TREASURE CHEST said...

Ramai antara kite terlupe bahawa ade rakyat Malaysia Orang Asli yang perlu diberi perhatian. Lawatan anak Dato' bersama Kelab Bakti Gunung Keledang ke Kg. Makmur dan 5 perkampungan asli yang lain adalah satu LANGKAH yang murni dan patut diikuti oleh lain-lain persatuan kebajikan dan rakyat Malaysia. Keindahan perkampungan dan sekitarnye amat indah dan tiada pencemaran dan didoakan supaya ketidakcemaran perkampungan itu berkekalan, jeramnya kekal jernih dan bersih bukan seperti kebanyakan sungei-sungei kita yang telah dikorban atas nama kemajuan... insyallah

duniajam said...

Tahniah kepada saudara Muzill kerana artikel yang menarik ni. Kita takkan tahu keadaan mereka selagi kita belum ke sana. Sekurang-kurangnya artikel ni dapat membantu kita mengenali & mengetahui keadaan mereka di sana.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...